Tatkala penganut agama Kristian seluruh dunia mendengar lagu Last Christmas nyanyian George Michael sempena sambutan Hari Krismas Ahad lalu, tanpa disangka lagu terbabit seakan-akan ditujukan buat pelantun berusia 53 tahun itu apabila perayaan tahun ini adalah yang terakhir buat dirinya.
Menurut BBC, bekas anggota kumpulan Wham! berusia 53 tahun itu menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Oxfordshire, England kira-kira jam 2 petang (waktu tempatan) pada hari sambutan Krismas Ahad lalu.
Jurucakap penyanyi itu, Cindi Berger dalam satu kenyataan mengesahkan berita terbabit dan memberitahu kematian Michael bukan disebabkan penyakit kronik. “Dengan penuh dukacita kami mengesahkan Michael, seorang anak lelaki, abang dan sahabat meninggal dunia di rumah ketika sambutan Krismas.
Ia berita yang sangat menyedihkan,” katanya. Sementara itu, pengurus peribadi penyanyi terbabit, Michael Lippman memberitahu majikannya meninggal dunia akibat kegagalan jantung.
“Michael meninggal dunia ketika berbaring di atas katil. Dia pergi dalam keadaan tenang. “Dalam keadaan sukar ini, keluarganya meminta privasi mereka dihormati dan tidak diganggu,” katanya.
Jurucakap polis berkata, pihak ambulans dihubungi untuk ke kediaman di Oxfordshire pada petang Krismas, Ahad lalu. Ketika ini, polis masih menunggu laporan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian penyanyi itu.
“Kematian Michael belum dikenal pasti tetapi tiada apa yang mencurigakan. Buat masa ini tiada sebarang kenyataan akan diberikan sehingga proses bedah siasat selesai dijalankan,” katanya.
Menyentuh keperibadian penyanyi yang terkenal sekitar 80-an itu, Elton John menyifatkan sahabatnya itu sebagai penghibur yang pintar. Sebaik mendengar perkhabaran duka itu, John lantas memuat naik gambar dan status di laman sosial media miliknya.
"Saya sangat terkejut mendengar berita ini dan tidak menyangka beliau pergi buat selama-lamanya. Saya kehilangan seorang kawan yang baik dan memiliki jiwa dalam setiap lagu yang dibawakan serta seorang penyanyi yang pintar,” katanya.
Michael dan John bukan sahaja berkawan rapat malah mereka pernah berkolaborasi dalam lagu Don’t Let The Sun Go Down on Me pada tahun 1991. Mengimbas kembali profil seninya, Michael yang dilahirkan dengan nama Georgios Kyriacos Panayiotou di London menubuhkan kumpulan duo Wham! bersama rakan sekolahnya, Andrew Ridgeley dan tampil dengan album sulung Fantastic pada 1983.
Bagaimanapun, mereka mula popular di Amerika Syarikat (AS) menerusi album kedua, Make It Big setahun selepas itu dengan lagu seperti Careless Whisper, Wake Me Up Before You Go-Go dan Freedom.
Pada 1987, George meninggalkan Wham! dan tampil dengan album solo berjudul Faith. Ia yang terjual lebih 20 juta unit di seluruh dunia turut memenangi Album Terbaik dalam Grammy Awards. Secara keseluruhan, album penyanyi ini dijual lebih 100 juta unit sepanjang kerjayanya.
Pada 2011, penyanyi yang pernah mencetus kontroversi akibat pengambilan dadah dan kecenderungan seksualnya pernah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat pneumonia. Dua tahun kemudian, George cedera di kepala selepas terjatuh dari kereta yang sedang bergerak di sebuah lebuh raya di United Kingdom dan dibawa dengan helikopter ke hospital berdekatan.
0 comments:
Post a Comment