My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 20 December 2016

    Kebun Mudah Alih


    Menanam sayur kini makin mudah apabila pelbagai inovasi dihasilkan. Terbaru, dekoponix yang dihasilkan sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) yang bukan sahaja tidak memerlukan tanah, malah menjimatkan ruang dan `kebun’ pula lebih bersih. 

    Rak tanaman itu dihasilkan selepas menyedari konsep kebun bandar kini makin popular termasuk mereka yang tinggal di kondominum, apartmen dan flat. Ini kerana dekoponix boleh ditempatkan di ruang terhad seperti balkoni, garaj, malah di dalam rumah.

    Lebih menarik, rak itu boleh dialihkan ke mana sahaja kerana memiliki roda. Walaupun menyedari pertanian bandar tidak dapat menyelesaikan semua masalah pengeluaran dan pengedaran makanan negara, ia boleh membantu penduduk bandar mengurangkan kos sara hidup selain memperoleh bekalan sayuran bebas daripada racun.

    Penyelidik Jabatan Rekabentuk Industri, Fakulti Rekabentuk dan Senibina Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Khairul Aidil Azlin Abd Rahman berkata, beliau mencipta dekoponix untuk pelbagai tanaman sayuran atau herba. Menggunakan sistem hidroponik, rak dekoponix memudahkan proses penanaman dan praktikal untuk cita rasa agro urbanis.

    “Tanaman dihasilkan secara hidroponik adalah bersih dan organik serta tidak memerlukan penjagaan rapi. Set dekoponix disertakan kit keperluan penanaman iaitu kup, kapas, biji benih dan media hidroponik. Selain itu, produk ini juga mudah diselenggarakan dengan hanya menambah air dan baja air mengikut sukatan tetapkan.

    “Bahan yang digunakan ialah plastik polypropylene (PP) yang boleh dikitar semula,” katanya selepas perasmian Ekspo Pertanian dan Pesta Konvokesyen UPM kali ke- 40 di UPM, Serdang, baru-baru ini.
    Majlis perasmian disempurnakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Bakar. Hadir sama Naib Canselor UPM Prof Datin Paduka Dr Aini Ideris. Khairul Aidil berkata, bahan itu boleh bertahan antara lima hingga tujuh tahun di kawasan separa luar rumah.

    “Kelebihan teknologi ini berbanding dengan produk sedia ada ialah ia menggunakan sistem rak yang mampu mengurangkan penggunaan ruang. Pengguna boleh memasang sendiri. Ia juga mempunyai roda yang mudah dialihkan manakala pembungkusannya secara kompak dengan semua komponen disimpan dalam satu kotak dengan kemas.

    “Sistem saluran air yang sistematik pula dapat menjaga kualiti serta kebersihan air dan setiap lapisan rak mempunyai enam lubang dan empat tingkat,” katanya. Menurutnya, produk tanaman itu mudah dikendalikan, menggunakan sistem hidroponik iaitu tanah. Inovasi ini dapat menghasilkan sayuran organik yang berkualiti, malah boleh dijadikan hobi kepada mereka yang gemar bercucuk tanam. 

    “Projek ini bermula tahun 2014 dan proses penyelidikan serta pembangunan tetap berjalan sehingga sekarang untuk penambahbaikan,” katanya.

    Dr Khairul Aidil Azlin berkata, antara penyelidik dan pelajar yang terbabit dalam projek itu ialah Dr Mohd Shahrizal Dolah, Mohd Hafiz Talib dan Mohd Zulkarnain Rusli. Produk ini dijangka dikomersialkan pada Februari depan di bawah jenama Dekoponix.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kebun Mudah Alih Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top