NASIB Kelantan yang dikatakan tidak mempunyai dana mencukupi untuk kekal bersaing pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan hanya akan ditentukan pada 6 Januari depan.
Namun sebelum tarikh tersebut, barisan exco Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dilaporkan akan mengadakan perjumpaan dengan kerajaan negeri pada 1 Januari depan bagi memaklumkan masalah yang sedang membelenggu persatuan tersebut ketika ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood (gambar) sebelum ini telah menegaskan bahawa KAFA perlu memaklumkan krisis yang mereka alami bagi mencari jalan penyelesaian.
Begitupun, menurut Abdul Fattah, kerajaan negeri dijangka mengumumkan langkah yang bakal diambil bagi membantu pasukan Kelantan meneruskan saingan dalam Liga M musim depan selepas pihaknya bertemu barisan kepimpinan KAFA pada 1 Januari depan.
Secara amnya katanya, kerajaan negeri tidak akan mengabaikan pembangunan bola sepak Kelantan dan tidak mahu sukan utama rakyat itu menemui noktah hanya kerana KAFA dibelenggu krisis kewangan.
“Kita akan tunggu KAFA buat pembentangan kepada kerajaan negeri pada 1 Januari depan. Diharap pertemuan kedua-dua belah pihak nanti akan membuahkan hasil yang baik. Kita hanya akan buat keputusan dan keluarkan kenyataan selepas pertemuan itu. Tunggu kejutan,” kata Abdul Fattah ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Kongres Rakyat Kelantan 2016 di Kota Bharu semalam.
Pada Kongres Luar Biasa KAFA semalam, persatuan tersebut memutuskan Kelantan akan tetap menarik diri daripada saingan Liga M musim depan kerana tidak mempunyai dana mencukupi untuk membiayai pasukan itu.
Walau bagaimanapun, ahli gabungannya memberi peluang kepada KAFA sehingga 6 Januari depan untuk mengumpul dana sekurang-kurangnya RM3 juta bagi memastikan skuad The Red Warriors dapat beraksi. KAFA memerlukan dana sebanyak RM15 juta pada musim depan untuk kekal bersaing dalam Liga M.
Abdul Fattah dalam pada itu berkata, pembangunan bola sepak negeri tidak wajar diletakkan di bahu KAFA semata-mata, sebaliknya perlu menjadi tanggungjawab semua pihak untuk membantu meringankan beban persatuan itu.
“Misalnya, inisiatif Badan Bertindak Bola Sepak Kelantan (BBSK) melancarkan kutipan derma merupakan usaha yang wajar dipuji. Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob sendiri menyokong usaha mereka.
“Ini satu petanda baik iaitu kita dapat menggabungkan semua pihak, merangkumi rakyat dan kerajaan untuk bersama-sama memastikan bola sepak Kelantan terus cemerlang,” jelasnya.
0 comments:
Post a Comment