My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 28 December 2016

    Gemilang 10 Tahun Bunkface



    BIARPUN hujan renyai membenihkan suasana sejuk di sekitar ibu kota yang masih setia turun sedari petang, atmosfera di dalam Stadium Chin Woo, Kuala Lumpur kekal hangat dek riuh sorakan 4,000 penonton yang datang untuk menyaksikan konsert Bunkface X pada malam 25 Oktober lalu.

    Usia 10 tahun Bunkface dalam industri tidak sedikit pun meluputkan sokongan peminat terhadap mereka. Bahkan, tempoh sedekad itu dilihat lebih mendekatkan khalayak, khususnya golongan muda dalam mengikuti perjalanan Bunkface dalam industri seni.

    Memulakan persembahan dengan trek Malam Ini Kita Punya, Bunkface terus memacu adrenalin pendengar dengan lagu-lagu hits mereka seperti Ekstravaganza, Soldier dan Kita Perang. Meneruskan persembahan, penonton dihiburkan pula dengan Highschool Rocker, Silly Lilly dan Prom Queen.

    Pastinya, set lagu-lagu yang dipetik daripada EP pertama mereka, Lesson Of The Season mengimbau kembali ingatan pemuja Bunkface pada awal kemunculan dalam lapangan muzik arus perdana. Bagi menampilkan kelainan, Bunkface turut menjamu penonton dengan video temu bual pendek yang ditayangkan pada segmen sebelum memulakan persembahan bertenaga mereka. 

    Menerusi video-video tersebut, Bunkface yang terdiri daripada Sam selaku vokalis, Paan (gitar utama) serta Youk (bass) bercerita mengenai suka dan duka selama 10 tahun bersama. Turut dipaparkan montaj menarik yang belum pernah disiarkan sebelum ini.

    Persembahan pada malam tersebut diteruskan menerusi segmen akustik yang menampilkan Sam atau nama lengkapnya, Shamsul Annuar Baharom menyanyikan beberapa buah lagu hanya dengan iringan gitar. Antara lagu yang dinyanyikan Sam termasuklah Agenda Jahiliah, Jatuh, Dunia, You & Me dan Kembali.

    Meneruskan momentum persembahan, Bunkface kembali beraksi menerusi lagu Orang Kita. Penyanyi Amir Jahari turut dijemput naik ke atas pentas untuk mengiringi Bunkface bagi lagu tersebut. Menutup persembahan, Bunkface menyanyikan lagu Revolusi dan Mannequinn sebelum melabuhkan tirai konsert dengan lagu Situasi.

    Secara keseluruhan, konsert Bunkface X boleh diibaratkan seperti keraian 10 tahun kumpulan tersebut dalam industri muzik tanah air. Berjaya meletakkan penanda aras yang tinggi, Bunkface cemerlang di atas pentas dalam menghiburkan peminat menerusi 20 buah dipetik daripada album-album pernah diterbitkan Bunkface sepanjang berkarier.

    Dari segi kualiti bunyi, penataan pentas dan produksi konsert, boleh dikatakan berlangsung dalam keadaan yang hampir sempurna. Konsert berdurasi sekitar dua jam tersebut pasti meninggalkan seribu satu memori yang membekas untuk selamanya dalam hati peminat.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Gemilang 10 Tahun Bunkface Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top