My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday 20 December 2016

    Sesi Latihan Selangor Suram


    SKUAD Selangor kembali turun padang buat pertama kali selepas lebih sebulan berehat tetapi dalam keadaan ‘tempang’ ekoran hanya menyaksikan kehadiran 10 pemain utama yang datang menjalani sesi latihan pramusim di padang SUK, Shah Alam semalam. 

    Sebagai rekod, pasukan Gergasi Merah berdepan gelora besar selepas gagal menamatkan kempen musim lepas dengan cemerlang sehingga menyebabkan Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Seri Azmin Ali enggan memberikan sebarang dana untuk saingan 2017.

    Susulan itu, beberapa pemain utama musim lepas mengambil keputusan untuk ‘angkat kaki’ seperti Nazmi Faiz Mansor dan Ahmad Hazwan Bakri yang menyertai pasukan gergasi Selatan tanah air, Johor Darul Takzim.

    “Saya telah mendapat arahan daripada pihak pengurusan Sabtu lepas untuk mula menjalankan sesi latihan pasukan bermula ming­gu ini (semalam). Apa yang boleh saya maklumkan kami telah menyerap masuk tujuh pemain Piala Presiden ke dalam skuad utama.

    “Situasi ini susulan ramai pemain senior kami musim lepas mengambil keputusan untuk berhijrah selain beberapa pemain yang tidak disambung lagi kontraknya,” kata pemangku jurulatih Selangor, K. Gunalan ketika ditemui semalam.

    Sebagai rekod, seramai tiga pemain Selangor yang masih memiliki kontrak bersama pasukan tetapi tidak menghadirkan diri pada sesi latihan semalam adalah R. Gopinathan, Mohd. Hafiz Kamal dan ketua pasukan, Mohd. Shahrom Kalam.

    Menurut Gunalan, status Gopinathan yang dikaitkan perpindahan ke pasukan juara Liga Premier, Melaka United masih tidak dapat disahkan tetapi apa yang difahamkan, Hafiz dan Shahrom telah ‘sebelah kaki’ berhijrah ke Perak.

    “Saya tidak tahu mengapa Gopinathan tidak menyertai sesi latihan pasukan hari ini (semalam). Namun, saya boleh sahkan bahawa Hafiz dan Shahrom bakal menyertai pasukan Perak pada saingan musim depan.

    “Secara jujur, agak sukar buat kami menjalani sesi latihan tanpa memiliki skuad yang lengkap tetapi saya akan tetap tunaikan tanggungjawab. Apa yang pasti, kami memerlukan sekurang-kurangnya lapan pemain senior jika berhajat untuk bersaing secara kompetitif nanti.

    “Bagaimanapun, segalanya terletak di tangan FAS kerana agak sukar untuk saya membuat keputusan bagi menarik minat pemain baharu jika pengurusan tidak menetapkan bajet yang jelas,” ujarnya. 

    Antara beberapa nama besar yang tidak menyambung kontrak bersama juara Piala Malaysia 33 kali itu adalah Abdul Hadi Yahya, Rizal Fahmi Rosid, Mohd. Azmi Muslim dan S. Subramaniam. 

    Sementara itu, Gunalan turut mengesahkan Andik Vermansyah merupakan satu-satunya pemain import yang kekal bersama skuad Merah Kuning untuk mengharungi kempen Liga Super yang dija­dualkan bermula Januari depan.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Sesi Latihan Selangor Suram Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top