My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 9 December 2016

    Banjir Lumpur Sg Liwagu Jejas Bekalan Air Terawat



    Lebih 5,000 pengguna sering terjejas bekalan air terawat Jabatan Air Ranau setiap kali banjir lumpur melanda daerah ini dan Kundasang.

    Banjir lumpur berlaku setiap kali hujan turun di kawasan kaki Gunung Kinabalu dan sekitar Mesilou Kundasang, yang mengalir ke Sungai Mesilou A dan B seterusnya ke Sungai Liwagu dengan membawa bersama batu-batan, pasir serta ranting kayu sehingga mengakibatkan aliran air ke tangki utama Jabatan Air Ranau tersumbat.

    Jurutera Jabatan Air Ranau Khairul Faizi Abd Rahman ketika dihubungi memberitahu masalah gangguan bekalan air terawat kepada para pengguna di Ranau adalah disebabkan saluran air ke tangki jabatan tersumbat akibat timbunan pasir, batu dan ranting kayu.

    Beliau berkata keadaan itu menyukarkan kakitangan Jabatan Air yang terpaksa bertungkus-lumus membuka timbunan kayu dan pasir itu. “Saya mewakili kakitangan Jabatan Air Ranau memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi berikutan ketiadaan bekalan air sejak Selasa lepas sehingga hari ini (kelmarin).

    “Memang kita tidak menjangka masalah bencana banjir lumpur ini berlaku, justeru kami memohon maaf,” katanya sebagai respons kepada pelbagai rungutan oleh pengguna berikutan masalah ketiadaan bekalan air yang agak kritikal sejak beberapa hari lalu.

    Tinjauan mendapati ribuan pengguna sekitar pekan Ranau dan beberapa kampung terutama para pengusaha premis makanan atau restoran dan pengusaha pusat mencuci kereta mengatakan perniagaan mereka agak terjejas berikutan ketiadaan bekalan air.

    Khairul tidak dapat menjanjikan tempoh sampai bila bekalan air dapat dipulihkan kerana kerja untuk membuka timbunan pasir di tadahan air Sungai Liwagu dekat Batu 4, tadahan air Kimolohing serta di Kundasang tertakluk kepada keadaan cuaca dan penggunaan jentera. “Kita berharap bekalan dapat dipulihkan sepenuhnya dalam masa terdekat ini, jika keadaan cuaca bertambah baik,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Banjir Lumpur Sg Liwagu Jejas Bekalan Air Terawat Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top