Seorang lelaki yang disyaki mencuri komputer riba dari dalam kereta di sebuah kawasan komersial di Jalan Tawi Sli terbunuh selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta di Taman Hui Sing di sini, semalam.
Menurut sumber, dalam kejadian sekitar jam 12.30 pagi itu, mangsa, 22, berasal dari Serian, yang menunggang sebuah motosikal dikatakan telah dikejar sebuah kereta yang dipandu seorang lelaki kerana mengesyaki mangsa mencuri komputer riba milik rakannya.
“Berlaku kejar-mengejar dari Jalan Tawi Sli sampai ke Taman Hui Sing sebelum mangsa dipercayai dirempuh dan diseret sejauh kira-kira 18 meter sehingga mengakibatkan kecederaan parah di kepala. Mangsa yang terhumban ke dalam parit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu kereta tersebut mengalami kecederaan ringan,” kata sumber.
Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak ASP Methew Manggi semasa dihubungi mengesahkan berlakunya kemalangan tersebut, bagaimanapun siasatan terhadap dakwaan mangsa mencuri masih dijalankan.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati terdapat kesan seretan sejauh 18 meter dari lokasi ‘point of impact’ ke lokasi kenderaan berhenti di benteng di tepi jalan raya tersebut. Berdasarkan maklumat awal yang diperolehi, kejadian ini dipercayai berlaku disebabkan mangsa disyaki mencuri barang (komputer riba) milik kepada rakan pemandu kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Tambahnya, pemandu kereta berusia 17 tahun dan berasal dari Jalan Penrissen telah ditahan untuk siasatan lanjut. “Dia (pemandu kereta) ditahan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan akan dibawa ke hospital untuk diambil sampel darah untuk ujian alkohol dan dadah,” katanya. Mayat mangsa juga telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat.
0 comments:
Post a Comment