My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 27 December 2016

    Percutian Minimalis Melbourne - Sydney


    Menjejakkan kaki ke benua terkecil di hemisfera selatan, Australia bukan sesuatu yang asing bagi warga Malaysia. Namun, pengalaman tertulis daripada kaca mata pengunjungnya pasti ada memorinya tersendiri. 

    Begitu juga dengan pengalaman 29 peserta Misi Jelajah Benua Australia yang majoriti adalah golongan pendidik dari Sekolah Kebangsaan Bandar Sri Putra, Bangi yang mengikuti aktiviti pengembaraan ini ke benua terkecil dunia itu.

    Merencana untuk mengunjungi pelbagai lokasi menarik melalui perjalananan dari Melbourne ke Sydney sejauh sekitar lebih 900 kilometer sememangya terisi dengan pelbagai pengalaman menarik bermula melawat kawasan pesisir pantai terkenal sehingga mendaki gunung tertinggi di Australia. 

    Lebih menarik kumpulan pengembara itu juga memilih untuk mengembara dengan memandu sendiri ke semua lokasi yang sudah direncanakan itu dan memilih menginap di hostel untuk lebih merasai pengalaman percutian minimalis serta menjimatkan.

    Sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Melbourne suhu dingin menyambut kehadiran pengembara walaupun di Australia pada Disember sudah memasuki musim panas dan musimnya adalah bertentangan dengan negara empat musim di hemisfera utara. Lokasi pertama yang menjadi pilihan adalah melawat ‘dunia penguin’ yang terletak di Pulau Phillip.

    Memandu ke lokasi berkenaan mengambil masa sekitar dua jam setengah dan sepanjang laluan ke sana melalui pelbagai lokasi tarikan pelancong antaranya kilang membuat coklat yang pastinya menarik perhatian kanak-kanak untuk menikmati imiginasi dunia coklat seperti di dalam cerita animasi.

    Sebaik tiba di Pulau Phillip di Victoria, suasananya tenang dan nyaman yang hanya kedengaran ombak lembut menghempas pantai. Pelbagai spesies burung berterbangan serta jinak dan hinggap berdekatan pengunjung seakan-akan sudah biasa dengan kehadiran manusia melawati kawasan mereka.

    Namun, yang menjadi sasaran panorama hari itu adalah untuk menyaksikan sendiri kehadiran penguin liar dan difahamkan cuma pada waktu senja spesies jenis itu mula berkeliaran di kawasan pantai.

    Penantian hampir sejam di kawasan itu tidak menghampakan apabila ada antara peserta pengembara ternampak dua ekor anak penguin menyorok di dalam lubang dan kelibat haiwan itu cukup memberi makna kepada mereka kerana dapat menyaksikan sendiri penguin liar di depan mata.

    Malah, dalam perjalanan pulang ke Melbourne di sekitar Victoria, mereka juga dapat melihat pelbagai haiwan liar yang sinonim dengan nama Australia iaitu kanggaru berkeliaran di tepi jalan ketika waktu senja.

    Tidak menghampakan apabila kumpulan pengembara di Summerland iaitu antara lokasi terbaik untuk melihat matahari terbenam di pulau berkenaan diarahkan pulang segera oleh pihak berkuasa memandangkan waktu senja menjadi pilihan haiwan liar keluar dari kawasan semak di sepanjang jalan raya.

    Sekiranya sudah sampai ke kawasan pantai di bahagian selatan Australia, tidak melalui Great Ocean Road sudah pasti tidak lengkap dalam perjalanan itu. Mana tidaknya, Great Ocean Road yang diwartakan sebagai Australia National Heritage menghidangkan panorama pantai terbaik untuk pengunjung dan perjalanan dari Melbourne hanya mengambil masa sekitar dua jam setengah.

    Laluan sepanjang 243 kilometer untuk menyaksikan pemandangan Great Ocean Road sememangnya menjadi satu kepuasan kepada pengembara kerana tidak sahaja mempunyai persisir pantai bersama air lautnya yang cantik malah pecahan tebing yang terbentuk secara semula jadi menambah keunikan yang memukau pandangan terutama di Taman Negara Port Campbell.

    Antara nama pecahan tebing yang boleh dilihat di taman negara itu iaitu Twelve Apostles, London Arch, Loch Ard Gorge, Gibson Steps dan The Grotto. Perjalanan kumpulan pengembara ke Australia ini diteruskan dengan menuju ke Threadbo iaitu kawasan yang terletaknya gunung tertinggi di benua Australia, Gunung Kosciuszko berketinggian 2,228 meter dari aras laut.

    Dari Melbourne ke Treadbo mengambil masa sekitar enam hingga tujuh jam dan tiga jam terakhir pula perlu memasuki kawasan pedalaman taman negara yang mana setiap pekan kecil yang berada di kawasan itu mempunyai jarak yang jauh antara satu sama lain.

    Pengalaman kali pertama memandu ke taman negara itu pada waktu malam sememangnya sesuatu yang tidak boleh dilupakan kerana kadangkala di bahagian kiri dan kanan jalan adalah gaung dan bukit batu yang mempunyai papan tanda mudah runtuh. Malah, kelibat haiwan liar seperti rusa, koala, musang dan kanggaru menambah debaran ketika memandu.

    Mana tidaknya, binatang liar itu bila-bila masa saja boleh melintas apabila terserempak dengan kenderaan yang melalui kawasan itu. Sebaik tiba di Treadbo jam 12 malam, pelbagai cerita dikongsi antara peserta pengembara dan setiap pengalaman memandu pada waktu malam dan gelap itu sememangnya tidak dapat dilupakan mereka.

    Usai semua peserta pengembara berjaya menawan Gunung Kosciuszko, perjalanan diteruskan untuk bermalam di Canberra yang mengambil masa perjalanan sekitar dua jam setengah dari taman negara berkenaan dan di sini, cuaca panas sudah mula terasa berbanding di Melbourne.

    Sekitar jam 11 pagi, kumpulan pengembara meneruskan perjalanan ke Sydney yang mengambil masa sekitar lima jam perjalanan dan sebaik saja tiba di bandar besar itu, hujan lebat menyambut kehadiran kami.

    Puas menikmati mercu utama Sydney antaranya Sydney Opera House dan Harbour Bridge, perjalanan di teruskan lagi ke Blue Mountain iaitu antara kawasan alam semula jadi yang mengambil masa hanya dua jam setengah dari Sydney. Di sini, ada pelbagai bentuk tebing batu yang menarik antaranya Prince Henry Cliff dan Three Sisters.

    Bagi melihat panorama lebih menarik, menggunakan kereta kabel adalah cara paling baik kerana melaluinya pengunjung boleh melihat panorama air terjun, Katoomba Falls.

    Perjalanan pengembaraan menerokai lebih 900 kilometer dari Melbourne ke Sydney yang terisi dengan pelbagai aktiviti sememangnya sesuatu yang menarik kerana ia tidak sahaja memberi penjelasan mengenai keindahan alam ciptaan Tuhan malah memberi dimensi pengalaman baru kepada kumpulan pengembara dalam soal ketamadunan manusia di bumi asing buat mereka.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Percutian Minimalis Melbourne - Sydney Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top