Hujung tahun sinonim dengan cuti sekolah bagi murid dan pelajar. Mereka yang bekerja pula akan menggunakan kesempatan ini untuk menghabiskan baki cuti tahunan masing-masing. Ada yang memilih lokasi percutian di dalam negara dan tidak kurang juga yang mahu makan angin di tempat orang.
Persoalannya, adakah Gen Y kini cenderung bercuti secara solo untuk lebih privasi atau menghabiskan masa bersama teman rapat dan keluarga? Tepuk dada tanya selera kerana apa pun pilihannya, mereka pasti mempunyai sebab tersendiri.
Bagi penulis, bercuti secara solo atau beramai-ramai tidak menjadi hal kerana yang lebih utama bagaimana anda manfaatkan waktu cuti selepas sekian lama sibuk dengan urusan kerja. Namun, ada gadis yang berani melancong solo tanpa teman. Bagi mengupas lanjut isu ini, Gen Y menemu bual tiga remaja perempuan secara rawak dan berikut komen mereka:
Charroogesinee, 21 Penuntut Ijazah Ekonomi dan Pentadbiran
“Saya lebih gemar melancong dalam kumpulan, tidak kiralah dengan teman rapat ataupun keluarga. Bukan apa, bercuti dalam bilangan yang ramai lebih menyeronokkan berbanding jika bersendirian. Saya akan pastikan diri sentiasa rapat dengan ahli kumpulan sepanjang percutian kerana itulah waktu terbaik untuk menghabiskan masa bersama-sama,” katanya.
Nur Nadirah Baharuddin, 24 Usahawan Kosmetik
“Bercuti dalam kumpulan pilihan saya kerana jika berlaku apa-apa, ada yang dapat membantu. Tambahan pula, pelbagai kemungkinan tidak dijangka boleh berlaku ketika di negara orang, jadi lebih baik ambil langkah selamat dengan pergi beramai-ramai. Walaupun agak sukar kerana ‘banyak kepala’, ia sebenarnya lebih meriah dan menyeronokkan berbanding jika berseorangan,” katanya.
Senal Barudi Shaik Alaudin, 22 Penuntut Ijazah Nutrisi
“Secara peribadi, saya memilih bercuti dalam kumpulan kerana lebih jimat kerana dapat berkongsi membayar caj tempat penginapan dan lain-lain lagi dengan rakan. Selain itu, kita juga dapat idea untuk mencari tempat makan menarik dan sebagainya berbanding pergi melancong seorang diri. Secara tidak langsung, kita dapat mengeratkan hubungan dengan keluarga atau rakan yang turut serta dalam percutian,” katanya.
0 comments:
Post a Comment