Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhi hukuman penjara 30 bulan dan denda RM10,000 terhadap seorang lelaki tempatan selepas mengaku bersalah kerana memiliki 26 kad pengenalan palsu.
Turut dijatuhi hukuman sama adalah seorang wanita rakyat Filipina yang mengaku bersalah memiliki kad pengenalan palsu. Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Amir Shah Amir Hassan memerintahkan Brahim Awang Anak,51, dan Ateng Jalil, 30, dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mereka mengaku bersalah melakukan kesalahan itu di sebuah bilik hotel di sini kira-kira jam 10.30 malam pada 21 Disember lepas.
Dalam pertuduhan berasingan, mahkamah sama menjatuhi hukuman penjara 24 bulan dan denda RM10,000 terhadap empat sekeluarga rakyat Indonesia selepas mereka mengaku bersalah memiliki kad pengenalan palsu di sebuah rumah di Kampung Sri Menanti, Jalan Tanjung Batu Darat kira-kira jam 11.50 malam, 21 Disember lepas.
Amir Shah turut memerintahkan Asna Satuan, 22, Asman Satuan, 22, Takin Satuang, 26 dan Junia Gasang, 50, dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu. Kesemua enam tertuduh mengaku bersalah mengikut Peraturan-Peraturan 25 (1) (e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007).
Amir Shah juga memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh mereka ditangkap dan manakala Asna, Asman, Takin, Junia dan Ateng perlu dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas selesai menjalani hukuman itu.
Mengikut fakta kes, kesemua enam tertuduh ditahan dalam dua serbuan oleh anggota penguatkuasaan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan polis pada hari berkenaan. Pemeriksaan mendapati kesemua kad pengenalan dan dokumen, yang dalam pemilikan mereka, tiada dalam data simpanan JPN. Pegawai Pendakwa JPN Mohd Fazdhly Abdul Razak mengendalikan pendakwaan kes itu.
0 comments:
Post a Comment