Sekurangnya-kurangnya 400 mangsa tsunami 26 Disember 2004 yang membunuh 226,000 orang masih belum dikenal pasti identiti mereka di Thailand walaupun bencana itu sudah 12 tahun berlalu, kata polis semalam.
Bencana alam antara paling besar dalam sejarah itu dicetuskan gempa bumi sekuat 9.15 magnitud di Lautan Hindi, berhampiran Aceh, Indonesia. Thailand, Indonesia, India dan Sri Langka antara negara terjejas teruk dilanda tsunami. Seramai 5,395 mangsa terbunuh di Thailand dan 2,000 dari jumlah itu pelancong asing.
“Sejak bencana itu, pihak berkuasa menghubungi hingga 5,000 keluarga bagi mengenal pasti dan membawa pulang mayat mangsa. “Bagaimanapun, kira-kira 400 mayat kami tidak dapat kenal pasti identiti mereka,” kata jurucakap polis daerah Takua Pa di wilayah Phang Nga, Anand Boonkerkaew.
Sementara itu di Aceh, ribuan penduduk mengadakan solat hajat dan berdoa di masjid bagi memperingati kira-kira 170,000 mangsa tsunami yang terbunuh dan hilang di wilayah itu.
“Saya datang ke sini hampir setiap hari bagi berdoa untuk anak lelaki saya, isterinya dan tiga anak mereka,” kata Maryam di kubur besar di Ulee Lheue. Mayat semua ahli keluarga Maryam, 60, tidak ditemui tetapi dia yakin mereka dikebumikan di kubur besar yang menempatkan 14,800 mangsa tsunami.
0 comments:
Post a Comment