My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 21 December 2016

    Samsung Kuasai Pasaran




    Tahun 2016 semakin menghampiri penghujungnya dengan banyak rangkuman teknologi yang hangat di pasaran, namun peranti boleh pakai atau wearable mencuri tumpuan tahun ini dengan perlumbaan kebanyakan syarikat elektronik mengeluarkannya. 

    Lebih menarik perhatian, pembelian syarikat popular wearable iaitu Pebble yang menjadi pemangkin industri terbabit kini diambil alih satu lagi jenama besar dalam jam pintar khususnya peranti kecergasan, Fitbit. Sama ada gelang pintar atau jam tangan pintar, ia menjadi pemain utama dalam peranti boleh pakai yang mewarnai tahun 2016 tidak terkecuali di Malaysia.

    Sebelum Pebble terkubur, ia antara tiga pesaing dalam industri jam tangan pintar termasuk Samsung dan Apple. Ekosistem jam tangan pintar meningkat sehingga 100 peratus tahun ini dengan anggaran lebih sejuta unit dipasarkan.

    Daripada angka terbabit, Samsung dilihat masih menguasai majoriti peratusan perkongsian pasaran diikuti Apple melalui jenama Apple Watch dan Pebble. Sudah pasti, persaingan jam tangan pintar berubah apabila Apple memasuki pasaran terbabit sejak awal tahun 2015 dengan peranti mereka dan tidak ketinggalan gajet ‘Made in China’ yang sedia menunggu masa sesuai untuk meletuskan perang. 

    Teknologi pembuatan jam tangan kini menjangkau evolusi yang menjurus ke arah konsep digital apabila pengeluar jenama elektronik berlumba-lumba menghasilkan rekaan yang paling canggih dengan fungsi terhebat.

    Revolusi jam tangan pintar sedia ada menyaksikan pengeluar mula menghasilkan jam tangan pintar yang mempunyai memori, beroperasi menggunakan pemprosesan dan paparan skrin lebih jelas untuk sesuatu aktiviti yang dilakukan.


    Jam tangan pintar dan gelang pintar misalnya boleh menetapkan masa untuk mengayuh basikal selama sejam dan selepas beberapa minit, ingin melihat semula berapa lama anda sudah mengayuhnya atau jumlah kayuhan serta kalori yang berjaya dihapuskan.

    Sehingga kini, jam tangan pintar boleh dikategorikan sebagai jam yang mempunyai pemprosesan khas, menyimpan memori dan paparan digital yang boleh dihubungkan ke peranti mudah alih lain bagi pemindahan data.

    Jam tangan pintar bukan ancaman kepada jam konvensional, apatah lagi ciri utama seperti keupayaan ketahanan bateri langsung tidak mampu menyaingi jam konvensional yang lebih mudah dan tidak perlu dicas secara kerap. Namun berdasarkan kisah silam sejarah jam di dunia, pengguna dan pengeluar jam boleh mengambil serius evolusi jam yang mengubah dunia.

    Pada 1970-an, pembuat jam Switzerland hampir gulung tikar kerana memandang rendah kepentingan jam kuarza. Seperti jam kuarza empat dekad lalu, peranti itu sedang dipandang ringan. Mengikut kajian syarikat perunding Deloitte, dua pertiga daripada eksekutif dalam industri jam Swiss mengatakan jam tangan pintar tidak menimbulkan ancaman.

    Jam tangan Swiss yang mewah begitu rendah dari sudut pandangan teknologi, ia tidak lagi perlu wujud. Kerjasama syarikat dari Switzerland yang memasukkan elemen pintar dalam jam mereka perlu disegerakan.

    Setakat ini, hanya Tag Heuer yang kelihatan cuba mendabik dada dengan kerjasama Android Wear mereka, namun ia masih jauh terbukti berkesan kepada pengguna jam yang setia dengan kaedah tradisional. Terbukti sekarang, terdapat dua pengguna jam pintar, satu yang kekal dengan gaya tradisional manakala satu lagi mahu mengaitkannya dengan aktiviti kecergasan.

    Apabila jam tangan kuarza dengan kuasa bateri diperkenalkan pada 1970-an, ramai pengguna tidak lagi menggunakan jam tangan mekanikal yang teknologinya dianggap lebih berusia kerana kedua-dua pergerakan jarum jam menggunakan gear dan berliku-liku serta memanfaatkan tenaga daripada gerakan pergelangan tangan si pemakai.

    Menurut Persekutuan Industri Jam Switzerland, kumpulan yang mewakili pengeluar jam, jumlah pekerja dalam industri jam Swiss menurun daripada 90,000 pada 1970 kepada hanya 30,000 pada 1984 dan jumlah syarikat juga menurun daripada 1,600 pada 1970 kepada 600 kini.

    Satu daripada sebab terbesar ialah jam tangan kuarza lebih murah dan lebih boleh dipercayai, malah jam tangan mekanikal yang paling mahal akan kehilangan beberapa saat seminggu dan memerlukan penyelenggaraan setiap beberapa tahun yang kosnya mungkin lebih tinggi daripada harga dua iPhone baru.

    Menurut satu lagi agensi penyelidik produk elektronik, NextMarket Insights, antara faktor yang memberi impak kepada populariti jam tangan pintar termasuk kemajuan dalam teknologi pemprosesan, skrin dan penggunaannya dalam segmen kecergasan serta kanak-kanak.

    Dalam satu analisis terdahulu, faktor terbabit bakal menjadikan 373 juta jam tangan pintar bakal dihasilkan pada 2020 berbanding 15 juta, enam tahun sebelumnya. Industri jam secara keseluruhannya memasarkan lebih satu bilion jam setahun.

    Agensi penyelidik yakin pertumbuhan jam tangan pintar bakal berlaku pantas dengan peluang yang bertambah. Pelbagai syarikat elektronik dan pengaruh syarikat China bakal memberi kesan kepada pengeluaran jam tangan pintar terutama yang menggunakan sistem operasi berasaskan Android. 

    Antara faktor penting dalam menghasilkan jam tangan pintar termasuk fungsi menerima panggilan dan keupayaan menyimpan data. Tiga platform utama yang mengoperasikan jam tangan pintar tahun depan pula termasuklah Android Wear, Fitbit OS dan iOS.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Samsung Kuasai Pasaran Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top