My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 9 December 2016

    Gilap Bakat Siswa


    E-sukan di Malaysia bukan saja disertai pemain profesional semata-mata tetapi juga siswa yang aktif bermain ‘game’ ketika menuntut di universiti. Kejohanan FIFA Online 3 Intercampus diadakan di Universiti Asia Pacific, Ahad lalu adalah pendekatan terbaru Garena dalam usaha menggilap bakat siswa selain menggalakkan penyertaan mereka dalam sektor e-sukan negara. 

    Pada peringkat permulaan, setiap universiti akan menghantar empat wakil pemain FIFA Online 3 terbaik yang dipilih melalui pertandingan peringkat kelayakan diadakan di kampus yang mengambil bahagian.

    Lapan kampus mengambil bahagian termasuklah INTI Nilai, MMU Melaka, UniRazak, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Asia Pacific sebagai tuan rumah.

    Pengurus Produk EA Sports FIFA Online 3, Justin Lye berkata, pendekatan ini sesuai dengan inisiatif terbaru daripada universiti tempatan yang menjurus kepada pembangunan e-sukan. 

    “Pertumbuhan e-sukan terutamanya FIFA Online 3 adalah positif berikutan adanya pihak universiti menubuhkan kelab e-sukan dan menganjurkan pertandingan FIFA Online 3 yang menjadi sebahagian daripada aktiviti kokurikulum mereka.

    “Pertandingan julung kalinya diadakan antara lapan kampus ini bertujuan untuk memastikan e-sukan terus bergerak laju di negara ini, seterusnya melahirkan lebih ramai bakat baru dalam kalangan siswa yang mampu bersaing secara kompetitif dalam sektor ini,” katanya.

    UIAM MUNCUL JUARA

    Sementara itu, pasukan e-sukan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dianggotai Muhd Zulfadzli Ahmad Zolfi, Ahmad Zariq Hakimi Che Yusof, Muhammad Shawqie Mazlan dan Izzal Syazrul Ahmad Tal’at muncul juara dengan membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta trofi selepas menewaskan lima pasukan daripada universiti lain.

    Kapten pasukan, Zulfadzli, 22, atau lebih dikenali sebagai RedSeaxHanzo melahirkan rasa bersyukur dan berpuas hati dengan pencapaian ahli pasukannya.

    “Terdapat ramai wajah baru dalam industri, sekali gus menjadikan persaingan itu sengit dan kompetitif. Sebenarnya ada antara kami yang pertama kali menyertai kejohanan sebesar ini dan saya sangat berbangga dengan prestasi dan kemampuan mereka,” katanya.

    EKSPERIMEN BARU DALAM E-SUKAN

    Dari sudut lain, pemain e-sukan diakui punya banyak pilihan dalam menentukan hala tuju karier mereka. Istilah ‘melompat’ dari satu permainan video ke permainan video lain yang hampir serupa konsepnya bukan lagi satu perkara mustahil. Bagi Izzal Syazrul, 21, yang sebelum ini aktif dalam siri FIFA, ia satu kelebihan buat dirinya dan pemain lain.

    “Siri FIFA mengajar saya erti kepuasan apabila menang untuk diri sendiri. Namun, FIFA Online 3 sedikit berbeza kerana kita menang sebagai satu pasukan, kita sambut kejayaan bersama-sama, itu yang menariknya.

    “Difahamkan, konsep kedua-dua permainan ini hampir serupa dan saya akui agak mudah untuk menyesuaikan diri. Bagi saya, e-sukan semuanya bergantung kepada peluang dan bagaimana kita manfaatkan peluang itu sebaiknya.

    “Sementara usia masih muda, saya ingin cuba teroka bakat dalam permainan video lain pula. Saya masih bermain FIFA 17, namun pada masa sama ingin mencari peluang dalam FO3,” katanya.

    Selain itu kata Izzal, pertandingan seumpama ini mampu membuka mata sesetengah pihak terutamanya ibu bapa dan golongan sasar. “Stigma yang sering mengaitkan permainan video hanya membuang masa perlu dihapuskan. Ini kerana sudah ramai siswa yang mula bergiat aktif dalam e-sukan dan kerap kali mewakili negara dalam kejohanan serantau malah dunia.

    “Justeru, saya percaya dengan adanya sokongan berterusan daripada kelab dan organisasi e-sukan serta badan kerajaan, lapangan ini mampu dikembangkan kepada satu karier yang mampu memberi jaminan kewangan berterusan untuk anak muda pada masa depan,” katanya.

    Tempat kedua dan ketiga dimenangi pasukan dari Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman dan Universiti Asia Pacific yang masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000 serta RM2,000.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Gilap Bakat Siswa Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top