KEHADIRAN francais filem Star Wars sentiasa dinanti penggemar perfileman dunia terutama peminat tegar filem epik angkasa tersebut. Mula diterbitkan oleh Lucasfilm pada 1977, ternyata filem ikonik itu terus mengumpul peminatnya tersendiri sehingga ke hari ini.
Mengakhiri penantian peminat, pada 15 Disember lalu, francais filem ini kembali dengan naskhah terbaharu berjudul Rogue One: A Star Wars Story. Pun begitu, bagi yang mengharapkan naskhah arahan Gareth Edwards ini mengekalkan magis seperti filem-filem Star Wars terdahulu, sila lupakan sebentar perkara itu.
Hal ini adalah kerana Rogue One: A Star Wars Story merupakan kisah spin off yang berlaku sebelum episod IV – A New Hope yang ditayangkan pada 1977. Secara keseluruhannya, naskhah ini mengisahkan tentang misi puak penentang yang mengambil risiko besar untuk memusnahkan pelan Death Star yang dibangunkan oleh pihak kerajaan zalim.
Misi tersebut diketuai oleh Jyn Erso, lakonan bintang yang semakin menyerlah, Felicity Jones dan dibantu Kapten Cassian Andor (Diego Luna). Sebenarnya, Death Star merupakan pelan yang dirancang oleh bapa Jyn, Gallen Erso (Mads Mikkelsen), namun ia telah dirampas pihak kerajaan zalim yang diketuai Director Orson Krennic (Ben Mendelsohn).
Pada awalnya, rancangan Jyn dan Cassian tidak mendapat persetujuan daripada ahli majlis tertinggi puak penentang, Mon Mothma (Genevieve O’Reilly) kerana mereka memerlukan perisai yang kuat bagi memasuki wilayah pihak kerajaan, terutamanya halangan daripada askar Stormtroopers. Pun begitu, ia sedikit pun tidak membantutkan niat Jyn.
Selain ingin menumpaskan agenda jahat kerajaan, dia juga ingin membebaskan bapanya daripada cengkaman Orson Krennic. Memasuki klimaks cerita, Jyn sebenarnya tidak keseorangan. Walaupun bukan semua puak penentang rela menyertai misinya, namun kehadiran beberapa watak seperti Chirrut Imwe (Donnie Yen) serta Jiang Wen (Baze Malbus) sudah cukup melengkapkan perisai mereka.
Satu hal menarik, naskhah kali ini menampilkan pelakon terkenal Hong Kong, Donnie Yen. Memegang watak sebagai orang buta, seperti biasa aksi kung fu Yen tidak pernah mengecewakan penonton.
Bukan itu sahaja, kehadiran robot K-2S0 yang asalnya berpihak kepada kerajaan, kemudian diubah suai menjadi orang kuat puak penentang memberikan unsur humor yang mampu membuatkan penonton tertawa.
Secara keseluruhan, kekemasan penggunaan teknik imej janaan komputer (CGI) serta plot penceritaan yang digarap oleh pengarah dalam filem ini begitu mudah dihadam penonton. Biarpun buat penonton yang pertama kali mengikuti siri Star Wars.
Begitupun, bagi pengikut tegar filem tersebut, mereka pasti akan berasa sedikit kecewa kerana kurang aksi pahlawan Jedi dan penggunaan lightsaber yang selama ini menjadi signatur kepada naskhah Star Wars. Seperkara lagi, semua watak yang ada dalam cerita ini turut mati pada akhirnya.
0 comments:
Post a Comment