Walaupun misi mereka dilihat sukar tetapi impian tersebut tetap menjadi buruan apabila skuad kendalian Alfred Riedl itu turun membuat perhitungan dengan Thailand pada final pertama di Stadium Pakansari, Bogor hari ini. Menurut Riedl, mereka akan melakukan yang terbaik dan tidak akan membenarkan Thailand mendominasi permainan agar misi besar mereka itu terlaksana.
“Kami mahu melakar sejarah baharu buat bola sepak Indonesia. Atas kertas, misi tersebut memang sukar tetapi tidak ada yang mustahil jika kami tampil dengan rentak permainan yang berkualiti.
“Kami sedar bahawa lawan kami di final nanti merupakan pasukan terbaik di Asia Tenggara tetapi kami tidak gentar kerana misi utama adalah untuk melakar sejarah baharu buat Indonesia,” jelas Riedl pada sidang akhbar di Bogor semalam.
Ini merupakan kali kelima Indonesia melangkah ke final Piala AFF Suzuki dan mereka berharap tahun ini nasib akan memihak kepada mereka. Indonesia pernah melangkah ke final kejohanan berprestij itu pada edisi 2000, 2002, 2004 dan 2010 tetapi gagal untuk bergelar juara.
“Kali ini, kami memiliki kelebihan beraksi di tempat sendiri dan ia memberi keyakinan kepada kami untuk meraih kemenangan, sekali gus mencari bekalan selesa sebelum menghadapi final kedua di Bangkok, Sabtu ini. Oleh itu, kami tidak boleh membiarkan Thailand menghasilkan jaringan pada perlawanan pertama ini,” ujarnya lagi.
Kejayaan Indonesia melangkah ke final Piala AFF Suzuki tahun ini telah mengejutkan ramai pihak kerana mereka seolah-olah hilang rentak ketika mengharungi saingan peringkat Kumpulan A di Manila, Filipina bulan lalu.
Selain itu, Indonesia juga tidak beraksi pada perlawanan berprestasi tinggi sepanjang tahun 2014 gara-gara penggantungan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). “Kami perlu melakukan banyak perubahan terhadap taktikal permainan sepanjang kejohanan ini dan ia telah membawa kejayaan luar biasa buat pasukan.
“Begitupun, kekuatan kami adalah semangat berpasukan dan para pemain telah menunjukkan tahap disiplin yang sungguh luar biasa,” jelas Riedl.
Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium My Dinh, Hanoi minggu lepas, Indonesia tampil cemerlang untuk meraih kemenangan 4-3 ke atas Vietnam pada perlawanan yang berlarutan sehingga ke masa tambahan selepas kedudukan terikat 2-2 sebaik tamat masa perlawanan sebenar. Pada aksi separuh akhir pertama di Bogor, Indonesia menang 2-1, sekali gus mara ke final dengan agregat 6-4.
Sepanjang kempen Piala AFF Suzuki tahun ini, Indonesia mencatat satu kekalahan ketika tewas 2-4 kepada Thailand pada aksi pembukaan peringkat Kumpulan A bulan lalu. “Kehadiran kami adalah untuk muncul juara kejohanan kali ini dan kami memiliki kemampuan untuk merealisasikannya,” jelas Riedl lagi.
0 comments:
Post a Comment