KONTROVERSI bukan satu frasa yang digemari sesiapa pun, termasuk selebriti. Biar cuba mengelak atau menepis, kontroversi kadangkala tidak dapat dihindar. Sama ada ia terjadi kerana kerelaan sendiri atau tanpa sengaja, kontroversi seolah-olah bom jangka yang tiba-tiba meledak pada masa tepat atau saat ia dihidu masyarakat melalui dunia tanpa sempadan hari ini.
Berikut merupakan 10 kontroversi terhangat hiburan sepanjang 2016.
1. Awie
Isu : Nikah kali ketiga di Thailand
Fakta : Walaupun kes perceraian dan kekasaran dengan isteri, Rozana Misbun masih berjalan, namun itu tidak menghalang vokalis kumpulan Wings bernikah buat kali ketiga dengan pasangannya, Sharifah Ladyana Syed Shamsudin. Perkahwinan mereka berlangsung secara rahsia pada 7 Oktober lalu di Songkhla, Thailand.
Awie, 48 dan Ladyana, 29, sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz pada pukul 12.10 tengah hari waktu Thailand. Mereka dinikahkan oleh Imam Besar Masjid Sultan Sulaiman, Songkhla, Imam Chawalid. Awie turut menimbulkan kontroversi apabila mendakwa dia berketurunan Raja Siam, Raja Sulaiman dan itu menjadi sebab pemilihan Songkhla sebagai lokasi pernikahannya.
2. Fara Fauzana
Isu : Batal majlis kahwin
Fakta : Seminggu sebelum majlis pernikahannya, pengacara dan pelakon Fara Fauzana mengejutkan peminatnya apabila membatalkan perkahwinan tersebut atas alasan yang enggan dikongsi. Sepatutnya, Fara, 36, melangsungkan perkahwinan dengan seorang ahli perniagaan, Mohamed Hafiz Badiuzzaman, 30, pada 17 September lalu.
Tanpa mendedahkan punca yang sahih, bekas penyampai radio itu bagaimanapun mengakui tindakan dibuat adalah keputusan sukar tetapi harus dimuktamadkan selepas persetujuan keluarga.
3. Adi Putra
Isu : Kahwin kali kedua secara rahsia
Fakta : Selepas seminggu berita perkahwinan keduanya bersama seorang wanita tersebar di internet, akhirnya pada 25 Julai lalu Adi Putra merungkai segala spekulasi mengenai status hubungannya bersama wanita tersebut.
Pelakon filem KL Gangster itu mengaku telah mendirikan rumah tangga dengan seorang janda beranak satu yang dikenali sebagai Nor Shahida Zolkifly pada 20 Jun iaitu Ramadan lalu di kediaman keluarga wanita itu secara rahsia. Adi juga mengakui pernikahan kedua itu telah mendapat restu daripada isteri pertamanya, Aida Yusof tetapi menafikan perkahwinan tersebut dilakukan atas alasan zuriat ataupun perniagaan.
4. Uqasha Senrose
Isu : Buka hijab selepas tiga tahun
Fakta : Selepas beberapa kali dilanda kontroversi yang dikaitkan dengan isu membuka tudung, pelakon Uqasha Senrose membuat pengakuan sudah tidak lagi mengenakan hijab pada Ogos lalu. Dia yang sebelum ini tampil dengan imej bertudung selama tiga tahun memberitahu alasannya berbuat demikian kerana tidak lagi mahu hipokrit dengan diri sendiri.
Selepas beberapa bulan membuka tudung, pelakon drama Tundukkan Playboy itu membuat kemunculan pertama pada Anugerah Skrin 2016 (ASK2016), November lalu.
5. Neelofa, Fattah Amin
Isu : Drama asmara Neelofa, Fattah Amin
Fakta : Drama bersiri Suri Hati Mr. Pilot yang ditayangkan pada awal November lalu memberikan impak kuat apabila lakonan hero dan heroinnya Fattah dan Neelofa diterima baik peminat. Keserasian mereka yang memegang watak Warda dan Ejaz menimbulkan ‘bibit cinta’, sekali gus menimbulkan harapan peminat yang mengharapkan mereka melangkah ke fasa yang serius dalam alam realiti.
Hal itu dikuatkan lagi dengan beberapa insiden tertangkapnya kemesraan pasangan itu ketika berada di luar antaranya aksi mesra Neelofa menemani Fattah bermain futsal dan berpegangan tangan di lapangan terbang di Brunei, selain kekerapan menghadiri majlis anugerah.
Namun, impian peminat untuk melihat pasangan yang menerima jolokan #Lofattah itu tidak kesampaian apabila Neelofa bertindak mematikan episod fantasi hubungan ‘teman tapi mesra’ nya dengan sebuah pengakhiran tanpa jawapan pasti.
Belum reda isu tersebut, timbul dakwaan kehadiran orang ketiga iaitu pelakon Tania Hudson sebagai kehancuran hubungan mereka. Baik Tania atau Fattah, kedua-duanya mengambil pendekatan mengunci mulut agar isu berkenaan tidak berpanjangan.
6. Remy Ishak
Isu : Rumah diserbu polis
Fakta : Pada 16 September lalu, rumah pelakon Remy Ishak yang terletak di Seri Kembangan, Selangor diserbu sepasukan polis selepas dipercayai terlibat dengan kes dadah. Dalam kejadian tersebut, pelakon berusia 34 tahun itu mendakwa rumahnya diserbu semasa ketiadaan dan berada di luar kawasan.
Bagaimanapun, pelakon filem Anak Halal itu mendakwa dianiaya individu sama yang melakukan ugutan kepadanya sebelum itu. Awal September lalu, dia menerima ugutan daripada seorang wanita kenamaan berasal dari Pantai Timur itu ekoran kegagalan urusan pelaburan dan perniagaan.
7. Zila Seeron, Along Cham
Isu : Dicerai kerana tidak mahu masak
Fakta : Kronologi kisah perceraian pelakon dan pelawak Along Cham bersama bekas isterinya, penyanyi Zila Seeron disifatkan tragis. Bermula dengan dakwaan Zila yang membuka mulut kepada pihak media tentang bekas suaminya itu menghalang dia bertemu anak mereka sehingga dihalau keluar dari rumah benar-benar mendapat simpati daripada masyarakat.
Biarpun dihentam dengan gelaran suami dayus, Along hanya mengambil pendekatan berdiam diri. Sedang isu itu diperkatakan orang, jerat yang dipasang Zila seakan-akan memakan dirinya sendiri apabila ditangkap berkhalwat dengan suami orang dalam sebuah operasi serbuan di Bukit Jalil.
Sejak itu, satu persatu aib Zila terbuka apabila beberapa keping gambar seorang wanita didakwa Zila bersama seorang lelaki dalam keadaan separuh bogel tersebar dalam aplikasi nyanyi Smule. Sehinggalah pada 29 Ogos lalu, pasangan itu sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya.
Sejurus prosiding perceraian itu selesai, Along dirakam jurugambar cuba mengelak daripada menyambut huluran salam daripada Zila di luar perkarangan mahkamah.
8. Datuk Red, Ruhainies berpegangan
Isu : Datuk Red, Ruhainies didakwa keluar berdua-duaan
Fakta : Pada Julai lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan penyebaran video Datuk Seri Adnan atau lebih dikenali Datuk Red keluar berdua-duaan dengan pelakon muda, Ruhainies di sebuah pusat beli-belah terkemuka ibu negara.
Menerusi video tersebut, Datuk Red yang juga suami kepada penyanyi Adira dilihat sedang memeluk pinggang Ruhainies ketika mereka sedang menaiki eskalator. Bagaimanapun, Ruhainies menegaskan, dia telah menjadi mangsa perangkap lelaki itu yang pada asalnya mengadakan perjumpaan bagi membincangkan hal kerja.
Dia juga sama sekali tidak mempunyai hati terhadap lelaki yang sudah mempunyai dua isteri itu. Dalam satu kenyataan kepada media, Datuk Red pula secara terang-terangan mengaku menyukai Ruhainies dan jika ada jodoh tidak menolak untuk mengambilnya sebagai isteri ketiga. Namun, kontroversi berkenaan ditamatkan dengan berita Adira berbadan dua.
9. Elly Mazlein
Isu : Perceraian dan drama Gegar Vaganza 3
Fakta : Drama hidup penyanyi Elly Mazlein bermula selepas dia mengumumkan sudah bercerai dengan bekas suaminya yang juga pengarah drama, Azmi Hatta pada 15 Oktober tahun lalu. Selang beberapa bulan kemudian, isu perceraiannya kembali kecoh selepas pelakon Faye Kusairi didakwa sebagai orang ketiga yang meruntuhkan perkahwinan pasangan itu.
Saling berbalas sindiran di Instagram, baik Elly mahu Faye, kedua-duanya seperti tidak mahu beralah. Faye mendakwa perkara itu hanyalah fitnah semata-mata. Tidak lama kemudian, Faye mendedahkan kepada sebuah portal hiburan bahawa Azmi adalah kekasihnya tetapi hubungan mereka bermula selepas dua bulan lelaki itu bercerai dengan Elly.
Kemelut perceraian Elly belum bernoktah di situ.Setelah berjaya menempatkan diri selaku peserta Gegar Vaganza musim ketiga (GV3), dia seperti ‘menjual’ kisah peribadi kepada umum dan kerap berdrama di atas pentas. Tindakannya itu turut memberi impak kepada Datuk Ramli MS dan juri jemputan Fauziah Ahmad Daud.
Akibat teguran yang mereka lemparkan kepada Elly akan dikecam oleh peminat sehinggakan juri bertaraf ikon seni itu disifatkan jahil dan tidak sensitif terhadap nasib ibu tunggal seperti Elly.
10. Aidil Aziz
Isu : Ditangkap kerana edar ganja
Fakta : Awal Oktober lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita pelakon Aidil Aziz bersama dua rakannya ditangkap kerana didakwa mengedar dadah jenis ganja. Mengikut pertuduhan, pelakon Lara Terindah itu didakwa mengedar ganja seberat 465.61 gram di alamat No.1, Jalan Ampang Hulu, Ampang, Kuala Lumpur pada pukul 12.40 tengah hari, 24 September lalu.
Selepas hampir dua bulan ditahan, pelakon berusia 28 tahun itu bernasib baik selepas dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM4,000 pada 7 Disember lalu. Aidil kini berada bawah pengawasan polis selama dua tahun.
0 comments:
Post a Comment