Penerbangan MH370 hampir pasti tiada dalam zon pencarian semasa di Lautan Hindi dan mungkin berada lebih jauh ke utara, demikian menurut analisis terbaharu semalam, namun pihak berkuasa berkata, pencarian pesawat hilang itu mungkin tidak akan diperluaskan.
Sehingga kini, tiada kesan kapal terbang jenis Boeing 777-200 milik Syarikat Penerbangan Malaysia itu ditemui dalam operasi mencari besar-besaran di dasar laut di luar pantai Australia. MH370 hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada 8 Mac 2014 bersama 239 penumpang dan anak kapal.
Lebih 20 serpihan bagaimanapun telah ditemui dengan kebanyakannya di pantai barat Lautan Hindi. Serpihan-serpihan itu sama ada disahkan atau berkemungkinan besar berasal daripada MH370.
Ketika pencarian semasa di kawasan seluas 120,000 kilometer persegi hampir ke penghujungnya, barisan pakar antarabangsa dan Australia termasuk dari Boeing serta Inmarsat bertemu di Canberra bulan lalu untuk menyemak semula bahan bukti dan model pencarian.
Mereka membuat kesimpulan bahawa pesawat itu tiada di kawasan pencarian yang ditetapkan, kata Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) yang mengetuai misi berkenaan dalam laporannya.
“Wujud keyakinan tinggi MH370 tiada di zon pencarian bawah laut yang telah dikenal pasti,” katanya. Menurut ATSB, kemas kini model satelit dan hanyutan serpihan membawa kepada bukti kukuh bahawa MH370 berkemungkinan besar berada di utara kawasan pencarian semasa.
Zon baharu itu meliputi kawasan seluas 25,000km persegi di Lautan Hindi dan mempunyai kemungkinan tertinggi menyimpan bangkai pesawat berkenaan.
0 comments:
Post a Comment