Lapan daripada 10 rakyat Filipina bimbang mereka atau seseorang yang mereka kenali akan menjadi mangsa pembunuhan dalam kempen antidadah Presiden Rodrigo Duterte. Bagaimanapun, sebahagian besar mereka juga memuji tindakan Duterte melancarkan kempen berkenaan.
Lebih 2,000 orang mati ditembak oleh polis dalam operasi antinarkotik di Filipina sejak Duterte menjadi presiden 1 Julai lalu sementara 3,000 lagi yang dibunuh oleh lelaki bertopeng atau sukarelawan masih disiasat.
Stesen Cuaca Sosial (SWS), agensi penyelidik bebas mengadakan kajian membabitkan 1,500 responden terdiri daripada rakyat tempatan. Antara soalannya, adakah mereka bimbang sama ada mereka atau orang yang mereka ketahui akan menjadi mangsa pembunuhan tanpa bicara? Sebanyak 78 peratus berkata, mereka bimbang.
Kajian SWS itu dilakukan secara bersemuka pada 3 hingga 6 Disember dan keputusannya diumumkan semalam. Meskipun bimbang, kajian itu juga mendapati rakyat Filipina menyokong kuat kempen itu yang diselar masyarakat antarabangsa hingga mendorong pakar hak asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa supaya ia disiasat.
Hasil kajian itu menunjukkan 85 peratus rakyat Filipina berpuas hati dengan kempen berkenaan, lapan peratus tidak berpuas hati dan tujuh lagi tidak tahu.
0 comments:
Post a Comment