Bagaimanapun, golongan tertentu yang membincangkan ia dari sudut pandangan yang berbeza menegaskan, personaliti seseorang itu dapat ditentukan menerusi hobi dan tidak kurang juga yang melihat hobi pada zaman teknologi ini sebagai satu cara menjana pendapatan.
Sebagai contohnya, kita dapat melihat perbezaan antara orang yang meminati permainan badminton dengan orang yang mempunyai hobi bermain badminton. Individu yang meminati permainan badminton tidak semestinya pandai bermain badminton.

Bagi orang yang mempunyai hobi bermain badminton pula, mereka akan bermain sekiranya mempunyai masa lapang seperti pada waktu petang atau setiap hujung minggu.
Sumber pendapatan
Bagi sesetengah individu, tujuan hobi adalah untuk memenuhi dan mendapatkan keseronokan serta hiburan semata-mata tetapi ada antara mereka berjaya menjadikan hobi sebagai sumber pendapatan sampingan. Kini, terdapat pelbagai jenis hobi termasuk mengumpul, membuat, membaiki dan bermain permainan yang berunsur pendidikan.
Apa yang pasti, hobi yang dimiliki oleh seseorang itu pasti dapat mengisi masa lapang dengan membuat kerja-kerja yang berfaedah, secara tidak langsung menghindarkan diri mereka daripada terperangkap dengan gejala yang negatif. Pada zaman moden ini, ramai orang mempunyai hobi yang menarik, berbeza-beza dan tidak kurang juga dianggap pelik.
Meluangkan masa dengan kucing pada waktu terluang merupakan antara hobi biasa bagi kebanyakan masyarakat hari ini. Namun, keadaan menjadi semakin pelik apabila ramai dalam kalangan individu itu sanggup berhabis ribuan ringgit sebulan semata-mata mahu membeli makanan dan keperluan harian haiwan tersebut.

Bagaimanapun, sejak kecil lagi, kita sering diajukan dengan soalan tentang hobi kita. Jika dahulunya, apabila kita diajukan soalan tentang hobi, ramai yang akan memberikan jawapan yang biasa didengari termasuk bermain bola sepak, memancing dan membaca. Berbanding pada masa kini, hobi generasi muda kian berubah.
Fenomena hobi generasi muda semakin bertukar, generasi berteknologi tinggi hari ini mula mencipta sumber ekonomi melalui hobi. Sebagai contohnya, banyak spa untuk binatang peliharaan seperti kucing mula dibuka dan tidak kurang juga sambutannya. Keinginan terhadap hobi yang bersesuaian dengan zaman, masa dan tempat ini semakin menjadi-jadi.
Malah, terdapat hobi yang pelik untuk didengari. Tidak ketinggalan hobi yang bertukar kepada melakukan aktiviti ekstrem. Jarang-jarang seseorang itu mengakui tentang hobi mereka yang kedengaran pelik. Mereka bimbang dilabelkan sebagai ketinggalan zaman, kolot ataupun tidak mengikut arus pemodenan.
Kepuasan
Walaupun kelihatan pelik, selagi aktiviti itu memberikan kepuasan kepada diri anda, maka itulah hobi kita dan itulah yang akan kekal lama serta mendominasi hampir keseluruhan hidup individu. Pada era teknologi maklumat ini, hobi dapat dilakukan dengan mudah melalui komunikasi yang ringkas. Ia sangat berbeza daripada hobi generasi terdahulu.

Oleh itu, hobi harus dimiliki oleh semua orang tanpa mengira usia, pangkat atau asal usul. Aktiviti positif ini akan memberikan banyak kesan baik kepada individu dalam aspek kesihatan mental dan fizikal seterusnya menjadi lebih bermakna serta menarik untuk diteruskan dari hari ke hari.
0 comments:
Post a Comment