Istimewanya figura bernama Ogy Ahmad Daud ialah dia memiliki aura tersendiri sebagai pelakon berkarisma sama ada di layar perak, teater mahupun di kaca TV. Buktinya, tahun ini yang bakal melabuhkan tirainya tidak lama lagi boleh dianggap tahun gemilang buat Ogy.
Bermula dengan Anugerah Pencapaian Sepanjang Zaman di Anugerah Bintang Popular BH 2015 dan Pelakon Wanita Drama Televisyen (TV) Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2016, Ogy terus melakar kejayaan apabila diumumkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-28 serta Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Filem pada Anugerah Skrin 2016 menerusi filem Langit Cinta.
Siapa sangka hampir empat dekad berkelana dalam industri seni tempatan, khidmat Ogy sebagai pelaris drama dan filem masih didambakan sehingga hari ini. Selepas melakar kejayaan manis dalam drama Cermin Kasih dan filem Langit Cinta, Ogy kini bakal muncul dengan drama bersiri terbaru berjudul Jejak Karmila.
Menerusi drama arahan Murali Abdullah itu, Ogy menggalas watak utama sebagai Karmila yang dihukum penjara 20 tahun kerana membunuh suaminya tanpa sengaja demi menyelamatkan anaknya, Suraya (lakonan Mia Ahmad) dan Noni (lakonan Ruhainies).
Diajak berkongsi mengenai peranan watak dan pengalaman berlakon di samping pelakon baru, Ogy mengakui teruja dan tidak sabar untuk menonton keseluruhan drama itu apabila ditayangkan kelak. “Ketika ditawarkan berlakon dalam drama ini saya membaca skrip yang diberikan terlebih dahulu. Ada beberapa input yang saya tambah bagi mencantikkan lagi perjalanan drama ini.
“Bagi saya, drama kita suka disogokkan dengan dialog yang kadang-kadang tidak perlu dilafazkan dengan kata-kata dan pengulangan ayat. Secara peribadi, saya tidak gemar mengulang skrip sama berulang kali.
“Menerusi drama ini, penonton akan melihat sisi seorang ibu yang sanggup berkorban demi anak-anaknya. Malah, hampir 20 tahun meringkuk dalam penjara, jiwa dan hatinya sudah lali dengan keadaan itu, tetapi masih bersemangat untuk menjejaki anaknya yang hilang. Drama ini akan melihat penerusan yang berlaku terhadap Karmila dalam mencari dua anaknya yang hilang entah ke mana,” katanya.
Menurut Ogy, jika drama lakonannya menerusi Bisikan Dajal dia terpaksa bermain dengan air mata dan menyaksikan kerapuhan jiwanya dalam meneruskan kehidupan, tetapi dalam Jejak Karmila dia tidak bermain dengan konteks itu. Katanya, emosi dan jiwa Karmila yang dibawanya bertukar secara total tatkala berada di dalam penjara.
“Apa yang cuba saya sampaikan dalam drama ini golongan wanita sebenarnya bukan insan yang lemah. Jika tidak, mana mungkin dia mampu menahan kesakitan ketika melahirkan anak yang dikandung,” katanya.
Ditanya mengenai lakonan yang dipamerkan Ruhainies dan Mia Ahmad dalam drama terbabit, Ogy berkata, kedua-duanya masih ‘mentah’ dalam gelanggang seni, namun punya bakat besar yang boleh digilap. “Terus terang, mereka belum faham apa itu permainan dalaman ketika membawakan sesuatu watak dan ia tidak boleh diajar di set penggambaran.
“Bagi saya, untuk memahaminya mereka perlu menuntut ilmu untuk berfikir di luar kotak dan bagaimana mahu mewarnai watak supaya seimbang dengan adegan yang dibawa. Percayalah, jika semua itu ada ia akan membentuk pelakon yang berwatak,” katanya.
Jejak Karmila mengisahkan keteguhan cinta Karmila terhadap Karim (lakonan Johan Asaari), anak kepada hartawan Hamidah (Fauziah Nawi). Karmila menyara hidup dengan bekerja sebagai pembantu rumah keluarga Zaidi. Siapa sangka, Zaidi dalam diam menyimpan perasaan terhadapnya.
Kerana cinta, Karmila berhenti kerja dan ingin berkahwin dengan Karim atas dasar cinta. Namun hubungan itu ditentang Hamidah. Karim yang benar-benar mencintai Karmila memilih untuk keluar dari rumah dan mengahwininya.
Ruhainies gementar berdepan dengan Ogy
Ruhainies yang berperanan sebagai Noni mengaku gementar ketika dimaklumkan bakal bergandingan dengan Ogy selain teruja untuk melihat hasil kerjayanya selain banyak belajar perkara baru dengan Ogy.
“Jujurnya apabila dimaklumkan bakal berlakon dengan Kak Ogy, saya sedikit gentar kerana dia dikenali sebagai primadona negara dan ramai memuji lakonannya.
“Tidak dinafikan lakonan Kak Ogy sememangnya hebat dan saya teruja apabila diberikan peluang bergandingan dengannya. Biarpun hampir semua babak bersama dia berat untuk dibawa tetapi berkat tunjuk ajar yang diberikan saya memberikan sehabis baik,” katanya.
Menurut Ruhainies, biarpun ramai yang mengatakan Ogy seorang yang sukar didekati dan tegas, tetapi tiada pula yang berpesan kepadanya untuk berhati-hati.
“Sepanjang bekerja dengannya saya sangat seronok. Dia tidak kedekut ilmu apabila ditanya. Walaupun ramai yang mengatakan dia tegas dan ramai yang memperkatakan mengenai perangainya, tetapi saya tidak ambil pusing. Namun saya bersedia jika ditegur untuk memantapkan lagi karakter saya,” katanya.
Mia timba pengalaman baru
Bagi Mia Ahmad yang membawakan watak Suraya, dia menimba pengalaman baru sebagai wartawan meja jenayah. “Selama ini saya ditemu bual wartawan, tetapi kali ini saya pula yang menjadi wartawan meja jenayah.
“Sebenarnya watak ini bukan watak yang mudah. Maklumlah selama ini saya hanya membaca berita jenayah di akhbar dan laman sosial. Kini, saya sendiri perlu menghidupkan watak wartawan yang menyedikan berita itu pula,” katanya. Drama Jejak Karmila terbitan Zeel Production bakal ditayangkan di slot Zehra, Januari tahun depan.
0 comments:
Post a Comment