Umum sedia maklum bahawa Amerika Syarikat adalah sekutu rapat Israel sejak sekian lama. Namun di bawah pentadbiran Barrack Hussien Obama, hubungan erat antara Washington dan Tel Aviv ini berada pada tahap paling rendah. Semuanya hasil daripada keengganan Obama mengakhiri tempoh pemerintahannya dengan rekod yang buruk seperti mana Presiden-Presiden Amerika yang terdahulu.
Kejayaan Resolusi ini boleh dianggap sebagai kemenangan awal rakyat Palestin samada di Ramallah mahupun di Gaza. Ini kerana, sejak pendudukan awal Israel di bumi Palestin, bumi Ambiya ini teruk dihakis oleh Israel dengan menempatkan tentera dan pembinaan rumah-rumah haram yang dibina di atas tanah rakyat Palestin.
Sejak berdekad-dekad lamanya, rakyat palestin terpaksa berjuang dan menumpahkan darah mereka hanya untuk menuntut tanah milik mereka sendiri. Namun penjajahan yang dihalalkan Amerika sejak sekian lama telah menyebabkan rakyat Palestin tertekan sehingga beberapa kali telah melancarkan perjuangan Intifada yang mengakibatkan puluhan ribu rakyat Palestin terkorban.
Di pihak Israel pula, keputusan PBB ini telah membangkitkan kemarahan yang bukan alang kepalang buat negara Zionis ini. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyifatkan, Resolusi PBB yang menghalang Israel dari membina penempatan haram di bumi Palestin ini adalah satu penghinaan yang tidak boleh diterima oleh Tel Aviv.
Kemarahan Israel ini bertambah apabila Amerika Syarikat dan Britain, dua sekutu kuat mereka di PBB memilih untuk berkecuali dalam isu ini. Tegas Netanyahu, sebagai sekutu rapat, Amerika dan Britain harus memveto cadangan berkenaan bagi membolehkan Israel meluaskan lagi penempatan penduduknya yang semakin hari semakin meningkat.
Sehubungan dengan itu, Netanyahu kini enggan lagi berhubung atau bersemuka dengan Barrack Obama mahupun Teresa May dan memilih untuk menjalinkan kerjasama rapat semula dengan Donald Trump, bakal Presiden Amerika yang ke 45.
Malah semalam, pentadbiran Netanyahu turut memanggil 15 duta asing yang membuka keduaannya di Israel bagi meminta penjelasan kesemua negara berkenaan, kenapa mereka menyokong resolusi berkenaan. Ujarnya, pihak pentadbirannya tidak teragak-agak untuk mengusir mana-mana negara yang gagal memberikan penjelasan berhubung sokongan yang dizahirkan oleh mereka pada resolusi berkenaan.
Persoalannya, apa yang mungkin terjadi selepas ini? Umum sedia maklum, Israel tidak pernah menghormati mana-mana keputusan yang diraih oleh mana-mana persatuan antarabangsa termasuk PBB. Israel dijangka akan tetap melaksanakan pembinaan haram mereka di tanah Palestin seperti dirancang sebelum ini.
Juga ada kemungkinan, Israel akan melancarkan serangan tahunan mereka keatas penduduk Palestin. Sudah menjadi kelaziman, apabila memasuki bulan Disember sehingga Februari, Israel akan melancarkan serangan membabi buta keatas rakyat Palestin walaupun punca serangan berkenaan disebabkan seorang askar Israel cedera dibaling batu.
Kemungkinan dunia melihat serangan tidak bertamadun Israel ini cukup besar dan ada kemungkinan, ianya bakal berlaku sedikit masa lagi hanya disebabkan kemarahan Israel dengan kelulusan Resolusi menyekat Israel dari membina penempatan haram mereka. Apa yang pasti, kemenangan rakyat Palestin ini cukup tinggi harganya. Israel pasti akan mula bertindak tidak lama lagi.
0 comments:
Post a Comment