Perbuatan keji seorang bapa yang tergamak merogol anak kandungnya sendiri yang terpisah selama lebih 15 tahun mendapat pembalasan setimpal apabila dijatuhi hukuman penjara selama 80 tahun dan 110 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam.
Hakim Datin M. Kunasundari menjatuhkan hukuman berkenaan selepas tertuduh yang merupakan seorang gelandangan berusia 38 tahun mengaku salah ke atas 11 pertuduhan merogol dan satu pertuduhan melakukan seks oral terhadap anak perempuannya yang berusia 16 tahun di sebuah bilik sewa di Lorong Haji Taib 1 di sini.
Kunasundari dalam penghakimannya berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan keji serta tidak dapat dimaafkan. Mengikut pertuduhan, dia didakwa atas 11 pertuduhan rogol dan satu pertuduhan melakukan seks oral terhadap anak perempuannya itu di sebuah premis di Lorong Haji Taib 1 antara 27 Ogos hingga 7 September lalu.
Bagi sembilan pertuduhan rogol yang dilakukan antara 27 Ogos hingga 5 September, tertuduh dikenakan hukuman 60 tahun penjara dan 90 sebatan. Bagi dua lagi pertuduhan rogol dan satu pertuduhan seks oral antara 28 Ogos hingga 7 September, tertuduh dijatuhi hukuman 20 tahun penjara dan 20 sebatan. Mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara berkenaan berjalan secara berasingan.
0 comments:
Post a Comment