Ketua Polis Daerah Kudat Superintenden Douglas Nyeging Taong berpuas hati dengan lawatannya ke Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) Tigabu dan Kampung Pulau Tigabu Kudat pada Ahad. Pada hari yang sama, beliau turut melakukan lawatan ke Kampung Pulau Sibogoh.
Semasa melawat ke Pos Kawalan PGA Tigabu dan Kampung Pulau Tigabu pada jam 8 pagi, ketibaannya bersama para pegawai dan anggotanya telah disambut oleh Pegawai PGA BN 16 Inspektor Suresh, PPM Inspektor Cyrill Douglas serta anggota PGA.
Lawatannya turut disertai oleh dua pegawai, lima anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat dan pemangku Ketua Balai Polis Karakit Sub-Inspektor Ghulam. Douglas memberitahu objektif lawatan ke Tigabu adalah meninjau tahap keselamatan di pos PGA selain memastikan anggota pasukan PGA yang bertugas di Pos Kawalan Pulau Tigabu dalam keadaan siap siaga.
“Lawatan ini juga adalah bagi mengeratkan hubungan pasukan PGA dengan pegawai dan anggota IPD Kudat serta mengeratkan hubungan dan kerjasama dengan penduduk di Kampung Pulau Tigabu.
Semasa lawatan itu, beliau turut diberikan taklimat yang disampaikan oleh Ketua Pos Pulau Tigabu serta mengadakan lawatan sekitar pos kawalan dan perjumpaan khas dengan anggota pos kawalan. Douglas yang diiringi oleh para pegawai polis dan anggota PGA turut mengadakan lawatan ke sekitar Kampung Pulau Tigabu sambil beramah mesra dengan penduduknya.
“Saya amat berpuas hati dengan perkembangan anggota yang bertugas di Pos Pulau Tigabu. Saya juga telah menyampaikan amanat kepada anggota PGA Pos Pulau Tigabu supaya sentiasa bersiap sedia dalam menghadapi kemungkinan ancaman mendatang,” katanya.
Douglas meminta agar anggota PGA di pos itu sentiasa berwaspada dan siap siaga sepanjang masa dengan mengutamakan keselamatan semua anggota. Beliau juga meminta para anggota meningkatkan kerjasama dengan penduduk kampung supaya mudah mendapatkan bantuan.
“Saya meminta masyarakat kampung supaya memberi kerjasama kepada anggota PDRM yang bertugas di pulau itu. Saya juga amat berpuas hati kerana kehadiran saya serta rombongan disambut baik oleh penduduk kampung,” katanya.
Sementara itu, lawatannya di Kampung Pulau Sibogoh pada jam 1 petang itu bersama pegawai dan anggota polis termasuk Suresh, disambut dengan penuh mesra oleh penduduk kampung berkenaan. Douglas memberitahu antara tujuannya melawat kampung itu adalah untuk membuat tinjauan keselamatan di perairan kampung serta memastikan agar perairan itu dalam keadaan selamat daripada ancaman musuh.
Selain itu, memberi kesedaran kepada masyarakat setempat perlunya bekerjasama dengan pasukan keselamatan dalam mengekalkan keselamatan dan ketenteraman semasa. “Lawatan ini juga adalah untuk mendekati dan menyelami kehidupan masyarakat di Kampung Pulau Sibogoh yang tinggal jauh dari bandar Kudat.
“Antara aktiviti adalah lawatan ke sekitar perkampungan itu, ramah mesra dengan masyarakat setempat serta membincangkan isu-isu keselamatan dengan pemimpin masyarakat kampung ini,” katanya.
Douglas berkata Pulau Sibogoh lebih kurang 39 batu nautika dari Kudat, merupakan kampung atas air dan kebanyakan masyarakat kampung ini melakukan aktiviti nelayan. Beliau juga menasihatkan pemimpin masyarakat di kampung itu dan masyarakatnya supaya tidak bersekongkol dengan mana-mana pihak yang memberi ancaman keselamatan kepada daerah Kudat serta negeri Sabah.
Katanya pemimpin masyarakat dan masyarakat kampung sangat teruja dengan kehadirannya serta rombongan ke kampung itu.
0 comments:
Post a Comment