Mentor Milenia musim kedua bakal kembali tidak lama lagi dengan mengekalkan mentor sama iaitu Black, Hazama dan Akim, namun tempat Azlan digantikan Tomok berikutan Azlan terikat dengan komitmen lain. Jika musim pertama uji bakat hanya dilakukan di Kuala Lumpur, musim ini Mentor Milenia terbang ke negeri bawah bayu, Sabah.
Dalam sesi uji bakat 10 dan 11 Disember lalu di Kota Kinabalu, walaupun sambutan kurang memberangsangkan namun juri yang terbabit iaitu komposer Azmeer dan Alfa Booty berjaya mendapatkan peserta diinginkan. Bertemu Azmeer pada sesi uji bakat, dia berkata, pertama kali turun padang menjadi juri, sukar mendapatkan peserta yang berbakat dan berkualiti.
“Semua orang tahu, orang Sabah ada keunikan terhadap suara mereka. Mungkin kerana sebutan bahasa seharian menjadikan suara mereka ketika menyanyi unik. Bahasa baku yang sering digunakan antara daya tarikan mengapa suara dan vokal orang Sabah sedap didengar,” katanya.
Azmeer berkata, dia turut melihat kesungguhan mereka yang datang jauh dan berjam-jam perjalanan untuk menyertai uji bakat itu. “Walaupun tidak ramai yang serius terhadap uji bakat ini, tapi masih ada beberapa peserta yang begitu bersungguh-sungguh dan nampak berbaloi usaha mereka yang datang dari jauh.
“Saya mahu penyertaan mereka bakal menjadi ikon kepada generasi muda dan tidak semestinya sudah tua baru menjadi ikon masyarakat,” katanya.
Sama seperti Mentor masing-masing, begitu juga harapan Azmeer terhadap peserta yang terpilih kali ini menjadi ikon kepada semua. Untuk musim kedua kali ini Azmeer masih kekal sebagai penasihat program, kali ini dia turut sama sebagai juri uji bakat.
Sementara itu, penerbit Mentor Milenia musim ini, Khirul Fikry Mustafa berkata, pemilihan Sabah berdasarkan bakat masyarakatnya yang dilihat unik dan jarang ditemui di tempat lain. “Kami mahukan kelainan dan yakin ia dapat ditemui di Sabah. Dapat dilihat sebelum ini ramai peserta dari Sabah mempunyai suara luar biasa.
“Jika sebelum ini kami hanya mengadakan uji bakat di Kuala Lumpur, musim ini kami turun ke Sabah demi memudahkan urusan uji bakat mereka,” katanya. Selain itu, Khirul berkata, peserta juga boleh menyertai uji bakat melalui laman sosial Instagram dengan memuat naik video nyanyian dan #mentormilenia2017 dan #nama mentor pilihan.
Dalam pada itu, peserta, Angelica Baujin, 17, teruja apabila persembahannya menarik perhatian juri. Peserta dari Tambunan itu berharap dapat menjadi peserta Mentor Milenia musim ini. “Saya akui gementar namun tidak sangka persembahan mendapat maklum balas positif daripada juri. Tidak kisah siapa pun Mentor saya, yang penting saya dapat menyertai Mentor Milenia musim ini,” katanya.
Mentor Milenia 2017 mula ditayangkan di TV3 pada 5 Februari tahun depan, setiap hari Ahad jam 9 malam. Peminat juga masih berpeluang menyertai uji bakat yang berlangsung di Sri Pentas, Bandar Utama mulai esok dan Ahad serta 24, 25 dan 31 Disember ini. Selain itu, mereka juga boleh hadir pada tarikh 1, 7 dan 8 Januari di tempat sama.
0 comments:
Post a Comment