My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday 30 December 2016

    Gugurnya Legenda Seni Bangsa

     


    KISAH seorang pejuang berakhir di medan peperangan, namun penamat dendangan seorang Biduan Negara bernama Tan Sri SM Salim yang menutup hubungan dengan dunia tepat pukul 5.45 petang semalam juga sebuah perjuangan paling dahsyat, biarpun menghembus nafas tenang di sisi isteri dan anak-anak. 

    Setelah 18 tahun melawan penyakit saraf yang dideritai, lima tahun bintang legenda itu mengisi sisa-sisa hari tuanya bertemankan kerusi roda sehinggalah semalam. Pentas yang selama ini menjadi saksi nadi perjuangannya bertukar menjadi perbaringan.

    Di situlah Allahyarham menghitung hari, siang berganti malam, minggu berakhir bulan, sehinggalah bertahun-tahun sepi daripada keriuhan dunia yang mengangkat namanya sebagai ikon seni dan budaya bangsa selama ini.

    Bersenjatakan rentak Melayu dan lirik kata pedoman pelita zaman, beliau mengajar betapa indahnya menjadi bangsa Melayu menerusi lagu-lagu dendangannya seperti Pasir Roboh, Seri Siantan, Bunga Tanjung, Joget Kasih Bermula, Mohon Kasih, Selamat Tinggal Bungaku. Lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling, Satu, Apa Dah Jadi, Pantun Budi, Cinta Dulu Cinta Sekarang dan Dulu Lain Sekarang Lain pula tidak ubah seperti nasihat daripada seorang bapa kepada anak-anak bangsa.

    Pedoman

    Biar seribu tahun waktu beredar, lagu-lagu beliau kekal menjadi khazanah bangsa, semerbak wangi di setiap penjuru jiwa selama-lamanya. “Kita telah kehilangan seorang legenda. Artis muda harus menghargai orang seperti beliau. Arwah seorang yang suka berjenaka dan paling tidak boleh dilupakan sampai hari ini ialah kata-kata nasihatnya.

    “Beliau menyatakan, setinggi mana kita pergi, akhirnya akan jatuh ke tanah jua. Oleh itu, sentiasalah merendah diri. Saya akan pegang nasihatnya sampai mati.

    “Selepas berduet lagu Satu dan Putih Tetap Putih, kami selalu bertemu dan sama-sama menjayakan persembahan. Beliau seorang yang amat profesional. Ketika datang latihan, beliau sudah tahu tentang lagunya. Orangnya memang sangat berdisiplin tinggi, sangat baik dan sering melakar senyuman. Kalau artis lain lambat, beliau tidak pernah tarik muka,” beritahu Zainal hiba.

    Bagi Zainal, kehilangan SM Salim tidak ubah seperti kehilangan seorang ayah. “Saya masih terkejut kerana saya baru melawatnya pada waktu Asar (semalam). Tidak sampai dua jam pulang ke rumah, saya dihubungi media tentang pemergian beliau,” tambah Zainal lagi.

    Sepanjang hayatnya, sejak 1979, SM Salim pernah menzahirkan 14 buah album termasuk empat buah album kompilasi antaranya Bunga Ros, Apa Dah Jadi, 1, Nanti Dulu, Jeling Menjeling, Perjalanan Seni dan Sekarang Dah Jadi.

    Menjadikan beliau seorang penghibur yang kekal relevan di hati khalayak, tidak sahaja lagu solo, duetnya bersama beberapa bintang terkenal seperti Datuk M. Nasir menerusi lagu Seloka Cak Kun Cak, Datuk Zainal Abidin (Satu dan Putih Tetap Putih), Datuk Sheila Majid (Entah Jadi Entahkan Tidak) dan Datuk Ramli Sarip (Selapis Kasih, Sedulang Rindu) telah mengangkat lagi pengaruh beliau sebagai ikon seni serta budaya bangsa.

    Bagi Siti Nurhaliza, pemergian SM Salim merupakan kehilangan tokoh seni serba boleh buat industri muzik Malaysia. Beliau dianggap seperti bapa yang banyak memberi nasihat dan contoh yang baik. Ilmu beliau boleh dimanfaatkan artis generasi kini.

    “Pengalaman berduet bersama beliau menerusi lagu Pandang-Pandang Jeling-Jeling serta Bergending Dong Gong merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Beliau seorang yang banyak memberi nasihat walaupun gemar menyelitkan lawak jenaka dalam persembahan mahupun di luar pentas. Beliau seorang yang sangat rajin memberi didikan yang baik untuk dicontohi.

    “Saya sangat bersedih atas pemergian beliau dan mendoakan agar rohnya diangkat bersama golongan hamba yang beriman. Salam takziah buat seluruh ahli keluarga beliau. Saya mohon maaf kerana tidak dapat menziarah kerana ketika ini saya berada di Jakarta, Indonesia,” luah Siti ketika dihubungi.

    Jasa

    Kisah SM Salim sebagai anak seni sejati bukan hanya diketahui oleh peminat dunia hiburan. Sewaktu muda beliau terpilih menjadi antara artis yang diundang untuk menghiburkan tentera dari pelbagai negara ketika tentera Malaysia berada di Congo bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1960.

    Selepas kembali dari Congo bersama-sama dengan penggesek biola, Allahyarham Hamzah Dolmat dan pelawak, Ismail Bontak, beliau menerima pingat pertama Ahli Mangku Negara (AMN) daripada kerajaan. Bersatu hati dengan penggiat seni lain untuk sama-sama memartabatkan industri muzik, beliau juga aktif dalam berpersatuan.

    “Saya mengenali beliau sejak 1985. Waktu itu saya mengambil alih jawatan sebagai Presiden Persatuan Penyanyi-Penyanyi Tanah Air (Papita) dan beliau pula menyandang jawatan Timbalan Presiden. Jadi, hubungan kami agak rapat sebab saling bekerjasama.

    “Kalau bercerita tentang karakter, beliau seorang periang, suka bercerita dan berjenaka. Beliau cukup dekat di hati saya sebab kami berkongsi tarikh lahir yang sama iaitu pada 30 Julai, cuma tahun sahaja berbeza. Beliau tua 18 tahun daripada saya. Saya doakan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” cerita A. Rahman tersayap pilu.

    Menurut A. Rahman, sesuatu yang sangat istimewa tentang SM Salim, walaupun memperjuangkan lagu irama Malaysia, nyanyiannya unik berbanding penyanyi lain. Beliau boleh menyanyi seperti bercakap, contohnya menerusi lagu Cinta Dulu Cinta Sekarang dan Apa Dah Jadi.

    “Beliau menyanyi tidak ikut tempo, boleh jadi lebih cepat atau lambat daripada muzik dan ada stail ghazal. Nyanyian beliau bagaimanapun tidak sumbang. Beliau menyanyi ikut rasa hati dan tidak semua orang boleh buat. Sukar untuk mencari ganti orang hebat sepertinya,” tambah penyanyi irama pop yeh yeh itu.

    Pengiktirafan

    Pengaruh dan kejituan karya serta keperibadian SM Salim menjadikan beliau bukan sembarangan penghibur. Pencapaian tertinggi dalam hidupnya ialah dianugerahkan pingat Darjah Setia Mahkota oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 2 Jun 2001 yang membawa gelaran Tan Sri.

    Beliau menjadi seniman kedua selepas Allahyarham P. Ramlee. Karier seni pemilik nama penuh Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al-Mahros yang dilahirkan pada 30 Julai 1928 itu bermula apabila beliau bekerja sebagai juruhebah Radio Malaya (sekarang RTM) secara sambilan semenjak 1957. 

    Ketika itu beliau dikenali dengan lagu-lagu Melayu klasik. Lewat 1950-an, beliau menganggotai kumpulan Irama Melayu sebelum menyertai Orkestra Puspati. Ketika itu, P. Ramlee sendiri turut menjadi insan yang banyak mempengaruhi kerjaya seninya. Radio jugalah yang memperkenalkan siapa Allahyarham kepada Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah.

    “Sejak berusia 10 tahun lagi, saya sudah kagum dengan kepetahan penyampaiannya yang ketika itu bertugas sebagai juruhebah radio. Dahulu tiada televisyen, jadi orang cuma dengar radio untuk hiburan. Beliau bukan setakat boleh menyanyi, tetapi melawak dan berpantun dengan baik.

    “Saya juga berpeluang merakamkan lagu berjudul Lagu Zaman bersama arwah dan Usop Kopratasa. Dahulu, kami sering bertemu kerana berada bawah label sama iaitu Warner Music. Sewaktu rakaman kami tidak pernah ada masalah, memudahkan kerja semua orang, suka mengusik dan senang didekati. Gurauan beliau agak pedih tetapi mesra,” cerita Jamal.

    Semalam, rembang petang Khamis telah menjadi langit mendung buat seluruh warga daerah seni tanah air. Seluruh peminat tidak kira tua atau muda amat tahu, bahawa SM Salim merupakan seniman patah hati selama hayat seninya.

    Bahkan ketika terlantar di rumah beberapa tahun lalu, beliau masih meluahkan kerinduan untuk menyanyi di atas pentas setiap kali diwawancara wartawan. Semalam juga, hanya ungkapan terima kasih atas segala curahan ‘peringatan’ indah selama ini, yang mampu dibisikkan kepada arwah. 

    Kesempatan menziarahi beberapa jam sebelum Allahyarham berangkat ke negeri abadi pasti akan dikenang sepanjang hayat selama bergelar wartawan hiburan. Al-Fatihah.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Gugurnya Legenda Seni Bangsa Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top