My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 21 December 2016

    Giliran Selangor Pula Berhasrat Tarik Diri




    SELANGOR membayangkan untuk menarik diri daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) 2017 sekiranya Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) masih tidak mendapat suntikan dana sekurang-kurangnya RM15 juta. 

    Itulah solusi yang dicapai 14 ahli Jawatankuasa Eksekutif FAS pada satu mesyuarat berikutan hala tuju skuad Gergasi Merah itu dilihat masih tidak keruan untuk menghadapi kempen Liga Super musim depan.

    Hanya lima Ahli Eksekutif FAS tidak hadir mesyuarat tergempar iaitu Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Hisham Gouth, Sekar Chandra, Mustaza Ahmad dan Datuk Ariffin Hamid tetapi telah mengemukakan alasan peribadi kegagalan menghadiri perjumpaan di Pejabat FAS, Kelana Jaya semalam.

    Menurut Timbalan Presiden FAS, Datuk Mokhtar Ahmad, ahli-ahli Exco telah mencapai kata sepakat bahawa skuad Gergasi Merah akan menarik diri jika juara 33 kali Piala Malaysia itu masih gagal mendapatkan dana minimum RM15 juta bagi kos operasi pengurusan setahun FAS.

    Bagaimanapun Mokhtar memberitahu, beliau mewakili ahli-ahli Eksekutif FAS akan bertemu dengan Azmin bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung kesudian kerajaan negeri untuk menyumbangkan dana kepada pasukan yang ditubuhkan sejak 1936 itu.

    “Agak memalukan (menarik diri daripada Liga M) tetapi kami kesuntukan masa. Berbaki sebulan sebelum bermula liga, saya tidak fikir FAS memiliki masa yang cukup untuk mencari dana.

    “Musim lalu, sebanyak RM23 juta diperuntukkan tetapi selepas Bendahari FAS mengumumkan pada mesyuarat, kami memerlukan sekurang-kurangnya RM15 juta untuk meneruskan perjuangan Selangor dalam saingan Liga Super musim depan.

    “Bukan tidak mahu mencari penaja, seperti saya katakan bagi musim 2017, FAS tidak sempat kerana masa terlalu suntuk tetapi kami boleh mencari penaja untuk tahun 2018 memandangkan ketika itu penswastaan penuh telah dilaksanakan.

    “Apa pun, saya akan bertemu dengan Presiden FAS, (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai hala tuju Selangor musim depan. Berdasarkan pandangan Ahli-Ahli Eksekutif FAS hari ini (semalam) mereka bersetuju Selangor tarik diri daripada Liga Super jika tidak mendapat dana sekurang-kurangnya RM15 juta,” katanya pada sidang akhbar semalam.

    Dalam perkembangan sama, Mokhtar enggan mendedahkan nilai pampasan yang diterima FAS selepas melepaskan penyerang, Ahmad Hazwan Bakri dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor menyertai Johor Darul Takzim dan terbaharu, Mohd. Hafiz Kamal dan Mohd. Shahrom Kalam menyarungkan jersi Perak musim depan tetapi pada masa sama, beliau mengakui hasil penjualan itu dapat membantu dana FAS.

    Sementara itu, Mokhtar yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memberitahu, skuad Selangor masih menjalani sesi latihan seperti biasa selain mengumumkan seramai tujuh pemain Piala Presiden diserap ke dalam skuad senior.

    “(Jurulatih) K. Gunalan masih terikat kontrak dengan FAS. Pemain masih berlatih seperti biasa termasuk dengan kehadiran tujuh pemain daripada skuad Piala Presiden,” ujarnya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Giliran Selangor Pula Berhasrat Tarik Diri Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top