PADA hari ini, kita sedang mengalami satu transformasi kecanggihan teknologi komunikasi hasil ledakan teknologi maklumat di peringkat global. Dalam memacu kemajuan teknologi maklumat ini, kita seharusnya bersedia untuk membentuk dan melahirkan generasi yang lebih bertanggungjawab serta berfikiran kritikal ketika melontarkan pandangan atau berkongsi maklumat terhadap sesuatu isu, terutamanya di media sosial.
Pada zaman globalisasi ini, hyperconnectivity atau kesalinghubungan digital selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu atau 24/7 itu memberi implikasi besar dan mengubah cara komunikasi sesama individu di setiap peringkat termasuk parti politik, kerajaan mahupun masyarakat.
Menguasai kemahiran teknologi komunikasi dan maklumat, kebijaksanaan berfikir serta menganalisis maklumat yang terhidang menerusi media sosial amat penting. Ia bagi mengelakkan kita berkongsi maklumat yang tidak sahih kerana itu boleh mewujudkan satu situasi panik atau kemarahan masyarakat.
Kini, kemahiran di atas bukan sahaja satu keperluan tetapi perlu ditambah dengan rasa tanggungjawab dalam berkongsi sesuatu perkara itu di laman sosial. Senario ledakan kemajuan teknologi maklumat yang menuntut keperluan hyperconnectivity pada hari ini adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Hidup dalam sebuah negara yang dihubungkan dengan jalur lebar berkelajuan tinggi di dunia menyebabkan setiap lapisan masyarakat kini terdedah dengan pelbagai kebocoran maklumat dan pencerobohan. Situasi itu memaksa masyarakat supaya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab.
Ini kerana, hyperconnectivity ini amat baik jika masyarakat berjaya manfaatkannya ke arah kebaikan dan bukan disalahgunakan.
Konsep 5S
Namun, apa yang kita lihat pada hari ini adalah sebaliknya. Sesuatu yang malang apabila pengguna internet di negara ini ghairah berkongsi maklumat yang diperoleh tanpa menyemak kesahihan maklumat itu, sekali gus mewujudkan generasi yang kurang berfikir.
Kita perlu menekankan konsep 5S di media sosial iaitu Saya Semak Sebelum Saya Share dalam berkongsi maklumat di media sosial. Perkongsian maklumat yang tidak benar di media sosial ini boleh menjatuhkan imej sesuatu organisasi mahupun individu seperti yang berlaku ke atas Kementerian Belia dan Sukan (KBS) baru-baru ini.
KBS didakwa tidak memberi layanan yang setimpal kepada kejayaan atlit paralimpik negara di Rio de Janeiro, Brazil, sekali gus menjadi viral di laman sosial sedangkan temasya Sukan Paralimpik itu masih belum berlangsung. Sekiranya individu yang berkongsi maklumat itu berfikir panjang sebelum disebarkan, sudah pasti golongan ini menyedari yang temasya itu masih belum berlangsung.
Apa yang lebih membimbangkan adalah ramai dalam kalangan masyarakat yang menyebarkan maklumat seperti ini datangnya daripada mereka yang berpendidikan tinggi dan mahir menggunakan teknologi maklumat.
Apa yang kita lihat, fenomena hyperconnectivity hari ini telah mengakibatkan masyarakat di media sosial kesuntukan masa untuk menyaring dan tidak menjadikan amalan berfikir dahulu sebelum kongsi sebagai ‘tabiat’ pengguna internet termasuk di luar negara.
Ini mengakibatkan mereka ghairah berkongsi maklumat yang tidak sahih dan gambar yang tidak sepatutnya sehingga ia menjadi viral, lantas menimbulkan kecelaruan dan kekeliruan dalam kalangan khalayak ramai khususnya yang melibatkan sesuatu isu panas. Dalam menangani hal ini, sikap bertanggungjawab dalam kalangan masyarakat media sosial harus dipertingkatkan.
Aspek kawalan kendiri dan kemahiran menganalisis maklumat sangat penting pada zaman ledakan teknologi maklumat ini, khususnya dalam kalangan generasi muda yang terlalu bergantung kepada teknologi.
Laporan
Sikap bertanggungjawab ini harus ditekankan kerana pada masa ini, Malaysia mempunyai kira-kira 35.7 juta pemilik telefon pintar. Jika disorot Laporan Ekonomi 2013/3014 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, rakyat Malaysia semakin banyak menghabiskan masa untuk melayari internet berbanding media lain seperti televisyen, radio dan surat khabar dengan kadar penggunaan internet yang meluas bagi rangkaian media sosial.
Meraikan kepintaran dan ledakan kemajuan teknologi yang boleh mengupayakan pengguna mendapatkan akses terus sesuatu maklumat secara optimum bukan lesen untuk seseorang individu itu melakukan penyalahgunaan.
Masyarakat hari ini harus memastikan maklumat yang diterima datang daripada sumber sahih. Maklumat atau berita berbentuk fitnah dan tidak sahih pasti akan mengucar-kacirkan masyarakat.
0 comments:
Post a Comment