My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday, 7 September 2016

    Peruntuk GDV RM1b


    FELDA memperuntukkan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1 bilion bagi projek pembangunan 11,530 unit kediaman untuk generasi kedua FELDA yang akan bermula dalam tempoh dua bulan akan datang di seluruh negara. 

    Projek pembinaan kediaman itu adalah rentetan daripada pembentangan Belanjawan 2016 yang mana sebanyak 20,000 unit rumah bagi generasi kedua peneroka akan dibina FELDA dengan harga maksimum diturunkan kepada RM70,000 berbanding RM90,000 sebelum ini.

    Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, projek perumahan generasi kedua itu akan dilaksanakan Terranova Builders Sdn Bhd (Terranova Builders) dan pelaburannya disokong Putra Star Investment Holdings Pte Ltd (Putra Star Investment).

    Beliau berkata, walaupun khidmat bagi membangunkan projek pembinaan itu dilaksanakan syarikat swasta tetapi bank tanah adalah milik FELDA sepenuhnya. “Paling cepat projek ini dijangka siap dalam tempoh setahun memandangkan pemaju menggunakan teknologi sistem pembangunan industri (IBS) dan ia adalah teknologi pasang siap bagi mempercepatkan proses pembinaan kediaman.

    “Kini, kita hanya menunggu kelulusan daripada beberapa pihak antaranya pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membolehkan projek ini diteruskan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara Terranova Builders dan Putra Star Investment di sini, semalam.

    Menerusi laporan terdahulu, FELDA dalam proses akhir untuk menyiapkan 8,400 unit rumah generasi kedua FELDA yang dijangka siap sepenuhnya tahun depan dan 11,530 unit kediaman itu adalah unit tambahan daripada projek pertamanya.

    Mohd Isa berkata, projek pembinaan rumah generasi kedua FELDA akan menyediakan rumah jenis teres dengan keluasan 850 kaki persegi dan pihaknya tidak bercadang untuk membangunkan kediaman jenis strata.

    Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan projek hartanah di Wembley, London, katanya, ia sudah memasuki fasa ketiga dan dalam proses perbincangan dengan beberapa pihak untuk memulakannya dalam tempoh dua bulan ini.

    Katanya, fasa ketiga itu membabitkan pembinaan sebuah hotel dan ia bakal melengkapkan projek hartanah Wembley yang kini mempunyai kediaman untuk disewakan kepada pelajar di bandar berkenaan. “Pendapatan yang diraih daripada projek ini juga adalah positif kerana kita sudah dapat menjana pendapatan RM2 juta sebulan hasil sewaan kediaman berkenaan kepada penyewa,” katanya.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Peruntuk GDV RM1b Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top