Penghasilan filem adaptasi daripada novel sememangnya sudah menjadi kebiasaan dalam industri perfileman atupun drama televisyen. Karya terbaharu arahan Faisal Ishak berjudul Aliff Dalam 7 Dimensi bagaimanapun tampil dengan sedikit kelainan.
Diyakini mempunyai daya tarikan, ia terlebih dahulu diterbitkan semula dalam versi komik sebelum ditayangkan. Merupakan sebuah naskhah gabungan genre seram dan fiksyen, filem lakonan Izzue Islam, Juliana Evans, Alif Satar dan Kaka Azraff tersebut mengisahkan kehidupan Aliff lakonan Izzue Islam yang mempunyai kemampuan melihat makhluk halus.
Kelebihan tersebut membawa kepada perkenalan antara dirinya dengan Anna (Juliana Evans) sehingga mewujudkan rasa cinta. Ditemui pada majlis pratonton yang diadakan baru-baru ini, para pelakon filem tersebut teruja berkongsi pengalaman yang dilalui semasa penggambaran.

“Sewaktu berada di set penggambaran, saya tidak mengalami sebarang gangguan kecuali kerap mengigau dan terkejut sewaktu tidur. Bagaimanapun saya merasakan ia berlaku disebabkan kerana terlalu terbawa-bawa dengan karakter atau kepenatan,” jelas pelakon berusia 26 tahun itu.
Enggan memikirkan perkara tersebut dengan serius, Izzue mengakui teruja menantikan reaksi peminat selain tidak menolak sekiranya ditawarkan berlakon dalam filem bercorak seram selepas ini.
Diekori
Berbeza pula dengan pelakon yang namanya melonjak naik selepas membintangi drama rantaian Dia Semanis Honey, Alif Satar. Dia percaya telah diekori makhluk halus semasa menjalani penggambaran. Dalam nada bersahaja, Alif mengakui, dengan pengalaman pernah terlibat dalam program Mastika Mencari Logika sebelum ini, dia mengetahui bagaimana rasanya saat diekori oleh makhluk ghaib atau hantu.
Situasi tersebut dirasai usai menjalani penggambaran di sekitar kawasan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi sekitar dinihari. “Ditambah dengan persekitaran yang sunyi sepi, menjadikan suasana bertambah seram. Semasa kejadian, saya menunggang motosikal, manakala Izzue memandu kenderaan di belakang saya sehingga ke pintu pagar utama untuk pulang.
“Bagaimanapun sewaktu berada di persimpangan jalan, kami menyusuri laluan yang berbeza dan ketika itu saya berasa seperti sedang diekori oleh sesuatu,” ujar Alif.
Kelainan
Memegang watak sebagai seorang pelajar yang melakukan kajian mengenai kewujudan makhluk halus, Juliana Evans pula memberitahu, pengalaman menjayakan watak Anna yang dirasuk hantu antara cabaran hebat dalam filem tersebut. Filem Aliff Dalam 7 Dimensi merupakan naskhah kedua genre seram lakonannya selepas Hantu Bonceng.

“Saya memang gemar melakukan perkara mencabar tetapi sekiranya diberi peluang untuk melihat hantu perkara tersebut adalah mustahil saya lakukan, saya takut,” tuturnya bersungguh-sungguh. Filem berdurasi 100 minit terbitan Astro Show itu turut dibintangi oleh Man Kadir, Hasnul Rahmat, Aleza Shadan dan Eunous Madeous.
0 comments:
Post a Comment