My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 8 September 2016

    Kekal Selamanya



    Penggunaan bahasa ibunda etnik harus dipertahankan bagi mengelak ia pupus ditelan zaman. Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem berharap perkara itu tidak berlaku di Sarawak yang mempunyai pelbagai latar belakang budaya dan bahasa. 

    “Kita mahu bahasa etnik di sini (Sarawak) terus dipertahankan kerana tidak mahu ia pupus seperti bahasa masyarakat asli di Amerika,” katanya. Adenan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kamus Komprehensif Bahasa Iban-Bahasa Inggeris oleh Yayasan Kebudayaan Dayak di sebuah hotel di sini, semalam.

    Mengambil contoh bahasa asli Arawak, Apache dan Cyan yang telah pupus, Adenan berkata sejarah bahasa itu kini hanya terdapat di muzium kerana tiada lagi penggunaan bahasa tersebut. Justeru beliau berharap masyarakat di Sarawak khususnya, terus mempertahankan bahasa masing-masing dengan mempraktikkannya dalam kehidupan.

    “Dengan cara ini sahaja dapat memastikan bahasa kita terus hidup dan kekal selamanya,” katanya. 

    Bercakap mengenai pelancaran kamus baharu itu, Adenan menyifatkan langkah membukukan bahasa Iban dalam kamus merupakan tindakan terbaik dalam memastikan bahasa etnik itu terus wujud. Menurutnya, ia jelas membuktikan bahasa Iban masih hidup kerana sikap masyarakat suku kaum yang sayang akan budaya dan bahasa.

    Namun beliau menegaskan agar bahasa itu tidak hanya digunakan atas aspek ingin tahu, sebaliknya harus dipelajari dan dipraktikkan. “Bukan kerana sebab ingin tahu, tetapi mesti dipelajari dan digunakan bahasa tersebut, dengan cara ini bahasa Iban akan kekal hidup. Malah ia merupakan salah satu identiti masyarakat di Sarawak,” katanya.

    Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri merangkap Pengerusi Yayasan Kebudayaan Dayak (DCF) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata penerbitan kamus itu bertujuan memelihara serta mempromosikan budaya Iban menerusi bahasa.

    “Ia sekali gus menjadikan bahasa Iban seiring dengan bahasa Melayu dan Inggeris dalam penggunaan seharian masyarakat Malaysia di Sarawak,” katanya. Kamus hasil inisiatif bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang itu merupakan karya empat pengarang, Janang Ensiring, Dr Robert Menua Saleh, Joanne Sutlive dan Dr Vinson Sutlive.

    Naskhah setebal 1,890 muka surat itu mengandungi lebih 30,000 perkataan serta definisi, dijual pada harga RM170. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Dato Sri Micheal Manyin Jawong dan Datuk Gerawat Gala.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Kekal Selamanya Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top