My Blog List

Translate

  • PANAS

    Thursday, 8 September 2016

    Penjelajahan Ruang Angkasa Kuala Lumpur



    Ketika mendongak ke langit, kelibat sang unggas yang terbang bebas di ruang angkasa jelas kelihatan. Terdetik perasaan cemburu dalam hati kerana ia berpeluang menikmati panorama alam dari sudut pandang atas. Muhamad Danial Abdullah Azarudeen, 18, mengakui, dia berasa bosan kerana asyik melihat pemandangan hutan batu bandar raya Kuala Lumpur. 

    Namun, tidak pernah terlintas di benak bahawa pemandangan dari ketinggian 304.5 meter di ruang udara mampu memutik keterujaan dalam dirinya. Justeru, dia tidak melepaskan peluang untuk menikmati pengalaman meneroka ruang angkasa menggunakan helikopter komersial yang julung-julung kali diperkenalkan di kawasan riadah Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur itu.

    “Saya sangat teruja apabila dapat menaiki helikopter untuk menikmati pemandangan indah Kuala Lumpur. Sebelum ini, saya hanya berpendapat tiada pemandangan menarik untuk dinikmati di bandar raya ini melainkan jalan raya yang sesak.

    “Persepsi saya jauh berbeza. Melihat dari atas, Kuala Lumpur sebenarnya sangat cantik. Banyak lagi tempat menarik yang belum saya terokai. Saya juga berasa sangat bangga melihat ibu negara kebanggaan rakyat Malaysia semakin pesat pembangunan ini.

    “Namun, pada masa sama, saya masih mampu memelihara kehijauan alam,” ujar pelajar jurusan Diploma Kejuruteraan Mekatronik di Universiti Selangor (Unisel) yang dilahir dan dibesarkan di Kuala Lumpur itu.

    Turut berkongsi keterujaan yang dirasai Muhamad Danial Abdullah ialah adiknya, Muhamad Seth Abdullah, 10. Ketika ditanya pengalaman dan perasaan sewaktu berada di dalam helikopter, Muhamad Seth Abdullah memberitahu, dia berasa seperti sedang menaiki kapal terbang tetapi lebih selamat.

    “Saya hanya duduk di belakang juruterbang. Sepanjang penerbangan selama enam minit itu, penumpang akan diberi penjelasan ringkas tentang bangunan dan tempat-tempat menarik yang dilewati atau mampu dilihat dengan jelas dari atas.

    “Antara pemandangan berharga yang tidak mungkin dilupakan ialah Empangan Klang Gate yang terletak berhampiran Bukit Tabur, Taman Melawati, Selangor. Ia sangat mengagumkan dan memukau mata,” jelasnya penuh teruja.

    Penumpang bertuah

    Muhamad Danial Abdullah dan Muhamad Seth Abdullah merupakan antara penumpang bertuah yang berpeluang meneroka ruang udara bandar raya Kuala Lumpur menaiki helikopter komersial sewaktu majlis prapelancaran KL Sky Tour (KLST) di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Turut hadir, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan dan Presiden Parti Progresif Penduduk, Tan Sri M. Kayveas. Perkhidmatan KLST dikendalikan oleh syarikat Cempaka Helicopter Corporation Sdn. Bhd. dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Biro Pelancongan Kuala Lumpur (KLTB).

    Ia merupakan rentetan kejayaan perkhidmatan penerbangan helikopter serupa yang berpangkalan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor dan Pulau Langkawi, Kedah. Kedua-dua perkhidmatan itu merupakan projek kendalian syarikat penerbangan helikopter komersial yang sama.

    Pengarah Eksekutifnya, Datuk James Ashley Greaves memberitahu, lokasi Taman Tasik Titiwangsa dipilih sebagai landasan helikopter (helipad) kerana kedudukannya yang strategik dan mudah diakses para pengunjung.

    “Lokasi Taman Tasik Titiwangsa dilihat sebagai paling strategik kerana ia mudah diakses. Justeru, Helipad Titiwangsa menawarkan peluang yang terbaik kepada pelancong domestik dan antarabangsa untuk menikmati latar langit Kuala Lumpur dari ketinggian 304.5 meter,” ujarnya.

    Jelas Ashley Greaves selaku ketua juruterbang KLST, penerbangan helikopter komersial itu menawarkan empat set panorama berdasarkan bajet penumpang. “Keistimewaan KLST ialah penumpang boleh memilih untuk terbang mengikut empat pilihan pakej yang ditawarkan mengikut kesesuaian bajet masing-masing’’ katanya.

    Bagi individu yang berhasrat untuk melihat hutan batu Kuala Lumpur dari pandangan udara tetapi mempunyai masa yang terhad, mereka boleh memilih pakej The KL Express. Penerbangan pantas selama enam minit itu akan membawa penumpang melihat mercu kemegahan rakyat Malaysia seperti Menara Kuala Lumpur, Dataran Merdeka, Stadium Negara dan Menara Berkembar Petronas.

    Selain itu, terdapat juga pakej The City Explorer yang memberi peluang kepada penumpang untuk melihat tapak sambutan Thaipusam tersohor iaitu Batu Caves. Pemandangan memukau bandar raya Kuala Lumpur dari ketinggian 304.5 meter mampu mengujakan para penumpang.

    Daripada situ, penumpang akan dibawa menuju ke Jalan Duta yang menempatkan Masjid Wilayah Persekutuan, Istana Negara dan kawasan kejiranan mewah golongan elit tempatan. Penerbangan selama 15 minit itu akan berakhir dengan penumpang dibawa bersiar-siar di ruang udara pusat bandar sebelum kembali ke landasan.

    Pakej eksklusif

    Tidak dilupakan, pakej penerbangan selama 30 minit yang menarik meliputi hutan batu dan hutan hijau tropika, The Jungle Escape. Ia melalui laluan yang sama seperti The City Explorer termasuk beberapa lokasi tambahan lain. Penumpang berpeluang menjelajah ruang angkasa, sekali gus jauh daripada hiruk pikuk kota termasuk menikmati pemandangan dari atas Bukit Tabur dan Empangan Batu.

    Sekiranya penumpang mempunyai bajet yang besar untuk menjelajah lebih jauh merentasi sempadan negeri Pahang, mereka disarankan untuk memilih pakej eksklusif The Mountain View. Sepanjang penerbangan selama 45 minit pada ketinggian 1,828.8 meter itu, penumpang akan dibawa menyusuri lembah dan gunung yang diliputi hutan hujan tropika menuju ke Genting Highlands, Pahang. 

    Penerbangan pulang pula menyajikan panorama latar langit pinggir kota dan Batu Caves sebelum kembali ke pusat bandar yang menempatkan pelbagai bangunan ikonik. Tambah Ashley Greaves, tiga buah helikopter akan beroperasi untuk KLST iaitu Robinson R44 yang boleh memuatkan tiga orang penumpang manakala Robinson R66 pula boleh membawa empat orang penumpang dalam satu-satu masa.

    “Sekiranya tidak mendapat tempahan untuk membawa kumpulan yang ramai, hanya Robinson R44 akan bersedia di Helipad Titiwangsa. Selebihnya akan disimpan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor” ujarnya sambil memberitahu, setiap penerbangan perlu mempunyai sekurang-kurangnya tiga orang penumpang.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Penjelajahan Ruang Angkasa Kuala Lumpur Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top