PERTAMA kali melihat muat naik rakannya mengenai Kilang Bateri yang semakin tular di media sosial membuatkan Muhammad Zulhusni Abdul Ghafar, 19, begitu teruja.
Keterujaan penuntut diploma jurusan Pengurusan Perniagaan di Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) Bangi itu semakin membuak-buak sebaik berjaya menjejakkan kaki ke Kilang Bateri yang terletak di Jalan Tampoi, Johor Bahru, Johor baru-baru ini.
Lelaki yang berasal dari Bukit Katil, Melaka itu sanggup memandu sejauh lebih 200 kilometer semata-mata untuk melihat dengan matanya sendiri keadaan kilang terbiar yang dibangunkan semula menjadi sebuah pusat beli-belah ala hipster.
Tumpuan libur yang kian dikenali itu mendapat nama berikutan tapak dan bangunan asalnya merupakan sebuah kilang membuat bateri jenama Eveready yang menamatkan operasi pada tahun 2013.
Istimewanya, selepas dibangunkan semula dan dimodifikasi menjadi seperti yang dilihat hari ini, ia tetap menggunakan nama Kilang Bateri yang merupakan signatur kawasan itu suatu ketika dahulu. Kongsinya, konsep perniagaan di Kilang Bateri itu tiada di tempat kelahirannya bahkan dia juga tidak pernah melihat pembangunan semula seperti itu di tempat lain selain di Johor.
“Kilang Bateri sangat unik kerana ia satu-satunya kilang terbiar yang dibangunkan semula sehingga menjadi pusat beli-belah kontemporari berkonsepkan hipster. Saya datang ke sini pun selepas rakan-rakan mencadangkan Kilang Bateri di media sosial sebagai kawasan wajib lawat dan ingin merasai sendiri benda baharu seperti ini.
“Keunikannya kita boleh nampak dari jauh lagi dengan papan tanda tertera perkataan bateri berlampu bahkan ketika masuk di pintu utama sahaja kita boleh melihat panorama yang sangat cantik dengan pelbagai dekorasi antik Kilang Bateri,” katanya ketika ditemui media baru-baru ini.
Bahkan Zulhusni menyatakan suasana di Kilang Bateri itu lebih meriah khususnya pada waktu malam dengan ribuan pengunjung sama ada untuk membeli-belah, makan, aktiviti hobi mahupun berkumpul secara santai. Kilang Bateri merupakan pusat beli-belah ala hipster yang dibangunkan semula menggunakan tapak kilang bateri lama, Eveready.
Kilang bateri lama tersebut dipercayai merupakan kilang moden pertama yang dibangunkan di negeri Johor sekitar tahun 1970-an. Disebabkan kos operasi kilang yang kian meningkat saban tahun, operasinya di Johor terpaksa dihentikan dan ia dipindahkan ke Indonesia pada tahun 2013.
Rentetan itu, lebih kurang dua tahun kilang bateri lama dibiarkan terbengkalai sehinggalah syarikat Foreveready Sdn. Bhd., iaitu gabungan tiga syarikat Creativist Idea Sdn. Bhd., (Joho), Skalareka dan Funtime Sdn. Bhd., bersatu membangunkan semula kilang tersebut.
Dengan kepakaran dalam bahagian masing-masing seperti seni bina, pemasaran dan penjenamaan, kilang bateri lama tersebut hanya mengambil masa kurang setahun untuk dibangunkan semula secara berfasa sebelum siap beroperasi pada Julai 2015 lalu.
Kilang terbiar berkeluasan 4.8 hektar itu kini bukan sahaja menjadi pusat beli-belah yang selesa malah ia juga menjadi pusat kegiatan seni dan hobi serta medan untuk golongan belia melakukan aktiviti bermanfaat. Ia menyediakan lebih 200 lot gerai makanan, minuman, pakaian, pusat kecantikan serta kedai buku.
Dilengkapi pelbagai kemudahan yang selesa seperti parkir sebanyak 750 lot, surau, pusat hiburan keluarga, pentas mini, dua buah dewan aktiviti serta dekorasi ala vintaj serba antik, menjadikan Kilang Bateri bukan sahaja tarikan terbaharu Johor, malah tarikan bagi pelancong asing terutamanya dari Singapura.
Persembahan
Selain itu, terdapat juga persembahan busking kumpulan secara langsung dengan pelbagai inisiatif menarik kedatangan pengunjung. Dianggarkan kira-kira 6,000 pengunjung akan hadir ke Kilang Bateri khususnya pada setiap kali hujung minggu.
Sementara itu, Pengasas dan Pengusaha i-Shell Out Johor Bahru, Aziz Sadikin Mohd. Mandak berkata, kejayaan Kilang Bateri memikat ribuan pengunjung untuk berpusu-pusu hadir setiap hari disebabkan lokasinya yang strategik.
“Kilang Bateri ini seperti pusat sehenti yang menyediakan pelbagai pilihan kepada pengunjung tempatan dan warga asing. Negeri Johor yang berjiran dengan Singapura menjadikan rakyat negara itu kerap mengunjungi Kilang Bateri pada setiap hujung minggu untuk membeli-belah, bersantai dan makan bersama keluarga.
“Keadaannya yang kemas, tersusun dan cantik menjadikan Kilang Bateri sebagai pusat pelancongan baharu di negeri Johor,” jelasnya.
Justeru itu, Aziz Sadikin berharap usahawan tempatan perlu memanfaatkan kelebihan tersebut bagi meningkatkan lagi taraf ekonomi masyarakat setempat. Pengasas Bersama Kilang Bateri, Yusri Bachok berkata, faktor yang menjadikan Kilang Bateri relevan sebagai hab pelancongan dan relevan bersaing seperti pusat beli-belah lain ialah kerana mengekalkan konsep kilang bateri lama.
“Dengan mengekalkan konsep kilang bateri lama menjadikan Kilang Bateri sebagai pusat beli-belah yang unik dan kekal relevan. Kita gunakan semula struktur bangunan kilang lama itu bagi memberi pengunjung suasana berada di dalam kilang sebenar.
“Dekorasi perkakas menggunakan kayu asli, kontena sebagai gerai dan stor-stor sedikit sebanyak membantu menambahkan lagi ciri-ciri keaslian konsep industri kilang itu sendiri,” katanya. Lebih membanggakan, operasi Kilang Bateri termasuk gerai-gerainya 100 peratus milik bumiputera tanpa sedikit pun campur tangan usahawan warga asing.
Jenama tempatan
Bahkan menurut Yusri, produk-produk yang dipasarkan di Kilang Bateri merupakan jenama tempatan. Ia secara tidak langsung menjadi hab ekonomi usahawan bumiputera khususnya golongan belia Melayu membina persaingan yang sihat.
“Kita boleh lihat rata-rata usahawan di sini adalah kalangan belia tempatan. Golongan tersebut mempunyai idea segar dan baharu yang mampu memberikan impak positif terhadap ekonomi khususnya bagi negeri Johor.
“Ia secara tidak langsung dapat mengukuhkan keterlibatan golongan belia dalam keusahawanan dan menarik golongan belia untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang lebih bermanfaat,” tambahnya.
Prihatin isu keterlibatan bumiputera dalam bidang ekonomi, Yusri menjelaskan, pihaknya mengalu-alukan kedatangan institusi atau badan yang mahu menjadikan kejayaan Kilang Bateri sebagai contoh dalam hab ekonomi. Yusri mahu konsep Kilang Bateri yang diketengahkan itu diterima bukan sahaja dalam negara tetapi dibawa ke peringkat global suatu hari nanti sebagai suatu jenama yang berjaya.
0 comments:
Post a Comment