Bayangan untuk melihat Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengisi kerusi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat cerah apabila beliau bersedia memohon persetujuan Jemaah Menteri untuk memansuhkan peraturan melarang mana-mana menteri memegang jawatan dalam persatuan sukan.
Tegas Khairy, sekiranya memutuskan untuk bertanding pada Kongres Pemilihan FAM Ke-53 itu nanti, beliau tidak teragak-agak meminta pelepasan, namun mengakui agak sukar untuk membahagikan masa antara tugas sebagai menteri dan menguruskan persatuan.
“Itu (kebenaran menteri memegang jawatan dalam persatuan) hanya boleh dibuat Kabinet yang saya kira tiada masalah jika saya nak bertanding,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Parlimen Belia Malaysia, di Bangunan Parlimen, di sini, semalam.
“Saya difahamkan ada dua minggu untuk mengesahkan sama ada mahu bertanding atau tidak, jadi saya akan bincang dulu dengan semua pemegang taruh terutama persatuan negeri (FA) dan sebagainya.
“Selepas perbincangan itu, saya mungkin mendapat gambaran lebih jelas berkenaan dengan apa tujuan saya dicalonkan pada pemilihan berkenaan,” katanya.
Selepas pencalonan jawatan ditutup Isnin lalu, perebutan kerusi Presiden FAM menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan beberapa tokoh terkenal yang cukup berpengalaman dalam arena bola sepak tempatan.
Selain Khairy yang pernah menjadi Timbalan Presiden FAM sebelum ini, tiga calon lain turut menghangatkan suasana itu termasuk pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (Johor DT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Penasihat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Jawatankuasa Integriti FAM Tan Sri Aseh Che Mat.
Bagaimanapun, Khairy dikatakan menjadi calon pilihan paling hangat terutama selepas Tunku Ismail sebelum ini mengumumkan tidak berminat mencabar jawatan itu. “Masing-masing ada kekuatan. Semua komuniti bola sepak termasuk saya, mahu melihat calon yang mampu menyatukan semua pihak (FA dan penyokong).
Walau siapa dipilih nanti, individu itu mesti mendapat kerjasama semua pihak. “Mesti ada pengaruh untuk membawa semua pemegang taruh duduk bersama dan tidak menunjukkan perpecahan dalam FAM,” katanya.
0 comments:
Post a Comment