My Blog List

Translate

  • PANAS

    Monday 23 January 2017

    Skuad Hoki Wanita Negara Tetap Membanggakan



    SKUAD hoki wanita negara gagal meneruskan kecemerlangan apabila tewas 0-3 kepada pasukan No. 16 dunia, Ireland pada perlawanan akhir Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia Wanita (WWHL) 2017 di Stadium Hoki Tun Razak, Jalan Duta, Kuala Lumpur malam tadi. 

    Tiga gol Ireland pada aksi final itu diperoleh menerusi jaringan Anna O’Flanagan, Kathryn Mullan dan Zoe Wilson, masing-masing pada minit ketiga, ke-10 serta ke-35. “Saya tetap gembira dengan kejayaan pasukan mara ke final walaupun kami tewas. Kami sudah mencapai sasaran, jadi tiada apa yang merugikan pasukan,” kata ketua jurulatih Malaysia Tigress, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

    Biarpun tewas, Malaysia Tigress yang menghuni ranking ke-21 dunia, berjaya menggembirakan para peminat sukan hoki tanah air dengan pencapaian membanggakan dilakar sepanjang kejohanan tersebut.

    Apa tidaknya, mereka berjaya memahat sejarah baharu apabila layak buat kali pertama ke Separuh Akhir WWHL 2017 sama ada di Brussels, Belgium pada 21 Jun hingga 2 Julai depan atau di Johannesburg, Afrika Selatan (8 hingga 22 Julai).

    Separuh Akhir WWHL 2017 merupakan aksi kelayakan terakhir buat semua pasukan mencari tempat ke Piala Dunia Hoki Wanita 2018 di London kelak.

    Kelmarin, Malaysia Tigress mara ke pentas final selepas menewaskan wakil Eropah yang juga pilihan kejohanan, Itali (No. 15 dunia) 2-1 menerusi penentuan penalti shoot-out selepas terikat 2-2 selepas tamat masa permainan sebenar.

    Sebagai rekod, skuad wanita tidak pernah beraksi pada pentas Piala Dunia Hoki Wanita sejak kali pertama diperkenalkan di Mandelieu, Perancis pada 1974. Pencapaian terbaik skuad wanita pada Pusingan Kedua WWHL sebelum ini ialah menduduki tempat ketiga dua kali berturut-turut sewaktu edisi 2013 dan 2015.

    Justeru, kejayaan muncul naib juara pada WWHL kali ini boleh dianggap sebagai pencapaian terbaik buat skuad wanita di pentas antarabangsa selain Sukan SEA.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Skuad Hoki Wanita Negara Tetap Membanggakan Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top