Satu lagi sejarah buat Negeri Kenyalang dilakar semalam apabila Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri keenam menggantikan Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia Rabu lalu.
Pelantikan yang dibuat ketika seluruh rakyat Sarawak berada dalam tempoh berkabung itu menjawab segala teka-teki mengenai siapakah yang bakal menerajui kepimpinan kerajaan negeri selepas pemergian Adenan.
Abang Johari, 66, yang sebelum ini menyandang jawatan Timbalan Ketua Menteri melafazkan sumpah di hadapan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di Astana Negeri Sarawak kira-kira pukul 4.09 petang.
Beliau juga merupakan Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak. Upacara bersejarah itu turut disaksikan oleh kedua-dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Tan Sri Dr. James Jemut Masing serta barisan Menteri Kabinet negeri dan Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
0 comments:
Post a Comment