My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 13 January 2017

    Abang Johari Dinamakan Ketua Menteri Sarawak Yang Baru





    Sebaik sahaja tamat upacara pengebumian bekas Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem semalam, ramai pihak tertanya-tanya, siapakah yang bakal dilantik sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baru bagi menggantikan Allahyarham. Ini kerana, tiada sebarang tanda atau pengumuman dibuat oleh mana-mana pihak dari kerajaan negeri Sarawak. 

    Namun, segala persoalan berkenaan akhirnya terjawab apabila Tuan Yang Terutama Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib bin Mahmud hari ini memperkenankan perlantikan Datuk Seri Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Abang Haji Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak yang keenam bagi menggantikan Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem.

    Menurut laporan dari BH Online sebentar tadi, beliau yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dijangka bakal mengangkat sumpah di Astana Negeri di hadapan Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud pada jam 4 petang ini.

    Sememangnya, perlantikan beliau selaku Ketua Menteri Sarawak keenam sudah dijangka oleh ramai pihak. Ini kerana, beliau merupakan antara ahli politik paling senior di dalam PBB dan negeri Sarawak.

    Sebelum beliau dinamakan sebagai Ketua Menteri, beliau merupakan Timbalan Ketua Menteri 2 semasa pentadbiran Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Satem.

    Sedikit biodata mengenai beliau, beliau merupakan anak bongsu bagi Almarhum Tuan Yang Terutama Tun Abang Haji Openg Abang Sapiee. Beliau bukan sahaja dikagumi oleh kebanyakan masyarakat Melayu di Sarawak, malahan amat disenangi oleh para pelabur asing dan tempatan. 

    Semasa beliau menjadi Menteri Perindustrian dan Insfrastruktur Negeri, kadar pelaburan di Sarawak meningkat kepada lebih 10 bilion setahun.

    Dari segi karier politik pula, selepas Pilihan Raya Negeri yang ke 8 pada tahun 2001, beliau sekali lagi diberi kepercayaan sebagai Menteri Pelancongan Negeri Sarawak sehingga rombakan kabinet negeri besar-besaran pada tahun 2004 yang memaksa beliau untuk bertukar ke portfolio Perumahan Sarawak.

    Tidak seperti ahli Dewan Undangan Negeri yang lain, beliau amat gigih dalam mempertahankan nasib pengundi-pengundi beliau di N06, Satok. Pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang kesembilan, beliau yang mewakili PBB di atas tiket Barisan Nasional sekali lagi mempertahankan Kerusi N08 Satok dengan majoriti 2798 undi mengalahkan lawannya Mohamad Jolhi daripada PKR. 

    Kemenangan beliau itu juga membolehkan anak bekas gabenor negeri Sarawak ini terus berkhidmat untuk masyarakat Melayu di kawasan bandar. Kejayaan yang sama terus diulangi oleh beliau pada dua lagi Pilihan Raya Negeri yang menyaksikan beliau kekal menjadi ADUN N08 Satok dan seterusnya mengangkat beliau sebagai antara orang paling lama berkhidmat dalam Kerajaan Negeri Sarawak.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Abang Johari Dinamakan Ketua Menteri Sarawak Yang Baru Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top