Setiausaha Akhbar White House, Sean Spicer mengecam pemberita kelmarin kerana “menerbitkan laporan palsu” yang didakwanya berleluasa sejak 30 jam Donald Trump menjadi Presiden Amerika Syarikat (AS), lapor akhbar DailyMail kelmarin.
“Ini merupakan jumlah penonton paling ramai menyaksikan angkat sumpah Presiden AS sama ada yang hadir sendiri atau menontonnya di kaca televisyen, Muktamad!,” kata Spicer pada sidang akhbar itu.
Beliau berang dengan media AS yang didakwa memperkecilkan majlis angkat sumpah Trump. Spicer berkata, bilangan sebenar penonton yang hadir di Washington bagi majlis angkat sumpah itu gagal diperoleh, namun beberapa agensi media melaporkan jumlah mereka sekitar 250,000 orang.
“Tiada sesiapa mempunyai jumlah penonton untuk majlis ini,” kata Spicer ‘kerana Jabatan Perkhidmatan Taman Kebangsaan, yang mengawal National Mall, tidak mendedahkan bilangan hadirin.’ Namun, jurucakap Trump itu berkata, sekurang-kurangnya 720,000 orang hadir pada majlis itu.
Syarikat informasi global yang mengira jumlah penonton untuk semua majlis angkat sumpah Presiden AS, Nielson pula melaporkan bahawa majlis angkat sumpah Trump di White House ditonton oleh 30.9 juta orang. Jumlah itu walaupun besar, ia masih belum membolehkan Trump mengungguli gelaran “bilangan penonton terbesar menyaksikan majlis angkat sumpah Presiden”.
Berdasarkan bilangan penonton di kaca televisyen, Trump menduduki tempat kelima senarai majlis angkat sumpah dengan tontonan paling ramai dan masih kurang tujuh juta penonton berbanding acara angkat sumpah pertama Presiden Barack Obama pada 2009.
Majlis angkat sumpah Obama pada 2009 dihadiri oleh kira-kira 1.8 juta orang biarpun suhu ketika itu berada di bawah paras beku. “Semua tempat di Capitol Hill dipenuhi orang ketika Presiden Trump mengangkat sumpah,” kata Spicer kepada pemberita.
Gambar yang dirakam dari udara pada Jumaat lalu bagaimanapun menyangkal kenyataan tersebut, namun, Spicer bertegas bahawa foto itu merupakan helah media. “Saya bangun pagi ini, dan membuka siaran salah satu saluran televisyen, mereka (media) menunjukkan padang yang kosong.
Saya berkata, ‘Tunggu sekejap! Saya yang membuat ucapan! Saya memandang ke arahnya. Padang ini dibanjiri berjuta-juta manusia!’’ - kata Trump pula.
0 comments:
Post a Comment