Tidak menyangka percaturannya sekali lagi membuahkan hasil, pelakon Shukri Yahaya akui semakin bimbang untuk memberikan yang terbaik selepas drama bersiri 7 Hari Mencintaiku mendapat rating tontonan tertinggi sehingga 12 juta.
Baginya, jumlah itu bukanlah bermakna dia perlu terlalu bangga dan berasa selesa, sebaliknya dia semakin berdebar kerana yakin peminat akan mengharapkan yang lebih baik lagi selepas ini.
“Syukur alhamdulillah selepas drama bersiri Dia Isteri Luar Biasa mendapat sambutan hangat, sekali lagi drama lakonan saya 7 Hari Mencintaiku mendapat sambutan lebih hangat sehingga mengatasi drama di semua stesen TV selama ditayangkan.
“Rasa gembira kerana dari hari ke hari orang mula menghargai bakat saya. Saya juga berasa semua ini adalah kerjasama daripada semua pelakon yang memberikan persembahan terbaik terhadap karakter masing-masing,” katanya.
Namun begitu, dia gementar kerana selepas ini pastinya penonton mengharapkan setiap drama yang dilakonkan mampu memberi impak seperti drama berkenaan. Saya akui gementar namun tidaklah berasa tertekan. Saya anggap ini adalah cabaran sebagai pelakon.
“Insya-Allah kejayaan drama ini memberi semangat kepada saya untuk lebih menghayati watak dengan baik dalam drama akan datang supaya memberi kesan kepada penonton,” katanya. Drama bersiri 7 Hari Mencintaiku mencipta fenomena apabila mendapat jumlah tontonan tertinggi selama ia ditayangkan.
Drama turut dilakonkan Siti Saleha, Wan Sharmila dan Faye Kusairi itu mengatasi jumlah tontonan drama bersiri sebelum ini iaitu Nur Kasih dan Love You Mr Arrogant.
Berkongsi perkembangan terkini, Shukri sedang menjalani penggambaran telefilem berjudul Kasih Seorang Ayah bergandingan dengan Eman Manan. “Sudah lama saya menanti saat berlakon bersama Eman. Apabila ditawarkan untuk telefilem ini saya teruja untuk menerimanya.
“Drama ini akan disiarkan sempena Hari Bapa nanti di TV3. Hujung bulan ini juga saya akan menjalani penggambaran drama bersiri untuk slot Samarinda namun belum pasti lagi tajuknya,” katanya.
0 comments:
Post a Comment