Antara perkara yang paling kita mahu elakkan adalah kemalangan sewaktu cuti panjang sesuatu perayaan. Hujung bulan ini, kita bakal bercuti agak panjang sempena perayaan Tahun Baru Cina yang jatuh pada 28 dan 29 Januari ini.
Justeru, pelbagai agensi penguatkuasaan jalanraya kini telah digerakkan untuk menguatkuasakan undang-undang bagi mengurangkan kemalangan jalanraya sempena cuti perayaan kali ini.
Oleh yang demikian, Operasi Bersepadu sempena Tahun Baru Cina 2017 telah dilancarkan di mana pihak Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) akan menyertai agensi-agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar dan Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).
Ops TBC 2017 ini akan menekankan 7 kesalahan utama tanpa kompaun yang bertujuan untuk mengurangkan kemalangan maut sempena musim perayaan kali ini.
Tujuh kesalahan utama itu termasuk gagal mematuhi lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, memotong barisan serta memandu di lorong kanan secara berterusan bagi bas dan kenderaan perdagangan.
Jika didapati bersalah, tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi undang-undang ini, di mana pesalah akan didakwa di mahkamah dan dikenakan denda maksimum RM2,000 tanpa sebarang kemungkinan kompaun.
Sehubungan dengan itu, pihak SPAD menyeru kepada penyedia perkhidmatan bas, kenderaan komersial dan para pemandu untuk mematuhi peraturan yang ditetapkan supaya kejadian tidak diingini dapat dielakkan.
Tegas sumber dalaman SPAD, penyertaan SPAD dalam Ops TBC 2017 ini bukanlah bertujuan untuk menghukum semata-mata. Sebaliknya ia adalah bertujuan mendidik dan membetulkan sikap pemandu dan penyedia perkhidmatan supaya sentiasa menitik beratkan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya yang lain supaya kes-kes kemalangan yang melibatkan kenderaan komersial dan bas ekspress dapat di hindari.
0 comments:
Post a Comment