My Blog List

Translate

  • PANAS

    Friday, 27 January 2017

    Demam Balik Kampung Di China



    Beribu-ribu orang memakai kot tebal dan membawa beg pakaian beratur dalam cuaca sejuk di Stesen Kereta Api Beijing untuk membeli tiket balik kampung bagi meraikan Tahun Baru Cina. 

    Mereka merupakan an­tara ratusan juta pekerja yang melakukan perjalanan jauh menuju ke kampung halaman masing-masing bagi meraikan perayaan paling penting dalam kalendar Cina itu. Tahun Baru Cina kali ini disambut pada 28 Januari.

    Permintaan untuk tiket pula teramat tinggi sehingga sebilangan orang sanggup beratur selama beberapa hari untuk mendapat tempat duduk dalam pengangkutan awam supaya dapat pulang dan meraikan Tahun Baru Cina bersama keluarga. Kesesakan serupa dilihat di stesen kereta api di bandar raya-bandar raya utama di China termasuk Shanghai.

    Seorang lelaki, Qi Xi merupakan antara segelintir mereka yang bernasib baik. Walaupun dia gagal mendapatkan tiket kereta api laju menuju ke bandar kelahirannya di Wilayah Heilongjiang, perjalanan yang akan mengambil cuma beberapa jam sahaja, Xi akhirnya dapat membeli tiket kereta api biasa.

    Dia terpaksa duduk di kerusi keras selama seharian untuk pulang ke kampung tetapi Xi tidak merungut. “Rakan sekerja saya dari Harbin gagal membeli tiket kereta api dan tidak tahu bagaimana dia akan pulang ke kampung. Dia mungkin tidak balik kampung tahun ini,” kata Xi di stesen kereta api tersebut.

    Musim cuti Tahun Baru Cina yang juga dikenali sebagai Festival Musim Bunga merupakan waktu ahli keluarga berkumpul untuk makan besar dan bermain bunga api. Mereka yang menyam­but Tahun Baru Cina perlu pulang ke kampung halaman menjelang hari ini untuk meraikan pe­rayaan itu esok. 

    Pihak berkuasa meramalkan bahawa orang ramai akan melakukan hampir tiga bilion perjalanan sepanjang tempoh sambutan Tahun Baru Cina selama 40 hari termasuk 2.5 bilion perjalanan jalan raya, demikian lapor agensi berita rasmi Xinhua.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Demam Balik Kampung Di China Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top