Seorang lelaki sanggup menetak dan menikam dengan pedang hingga mati isteri yang dikahwininya hampir 25 tahun, semata-mata wanita itu enggan melakukan hubungan intim di Kampung Pinggir Bakau, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, mangsa Norminah Bollok, 38, parah akibat ditikam di rusuk kanan dan kiri serta ditetak di tangan kanan sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Semporna.
Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Peter Umbuas berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan oleh anak mangsa yang memaklumkan ibunya parah akibat ditikam sebelum sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna bergegas ke lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati sebelum kejadian, suspek yang bekerja sebagai penjual ikan baru tiba di rumahnya dan membawa ikan yang hendak dijual. Suspek mengarahkan dua anak lelakinya menjual ikan di kawasan kampung tempat mereka tinggal. Suspek menghisap rokok sambil meminum tuak di ruang tamu rumahnya lalu tertidur,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Peter berkata, suspek terjaga jam 4 pagi dan masuk ke dalam bilik dipercayai mahu bermesra dengan isterinya. “Bagaimanapun isteri (mangsa) enggan menyebabkan berlaku pertengkaran mulut antara mereka. Ketika itu, suspek mengambil pedang samurai dan menetak tangan kanan dan kiri isterinya.
“Tidak terhenti di situ, suspek menikam mangsa di rusuk kanan dan kiri sebanyak tiga kali sehingga mangsa rebah,” katanya. Menurutnya, melihat isterinya rebah dalam keadaan berlumurah darah, suspek melarikan diri dan membuang pedang samurai bersama sarung di bawah kolong rumahnya.
“Suspek turut melarikan beg mangsa yang mengandungi pelbagai dokumen anak dan mangsa. Mangsa dihantar ke Hospital Semporna sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, suspek dan mangsa bernikah sejak 1991 dan mempunyai lapan anak iaitu empat lelaki dan empat perempuan berusia 13 hingga 22 tahun. “Mangsa suri rumah sepenuh masa, manakala suspek bekerja sebagai pembeli ikan di Pulau Bajau, Semporna.
“Polis memburu suspek berusia 50 tahun dan kes disiasat mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.
0 comments:
Post a Comment