SEPERTI diduga, pentas anugerah berprestij Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) yang berlangsung malam Ahad lalu menobatkan pasukan penyanyi Dayang Nurfaizah unggul menjulang trofi AJL31 menerusi lagu popularnya, Lelaki Teragung.
Lantunan vokalnya memukau seisi Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sehingga pada hujung persembahan, tidak sekadar sorakan gemuruh ditumpahkan buat Dayang, bahkan penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu mendapat standing ovation (tepukan sambil berdiri) daripada penonton.
Lantas, pentas AJL31 menjadi saksi kepada ledakan trio pelengkap Lelaki Teragung apabila ia bukan sahaja menamatkan penantian 16 tahun Dayang sejak kali pertama menyertai AJL pada 2001, bahkan penulis lirik Iman Imran dan komposer, Natasyah untuk menggenggam trofi penuh prestij tersebut.
Lebih manis, Dayang turut menyempurnakan kemenangan hatriknya apabila sekali lagi menepati ramalan membawa pulang kategori Vokal Terbaik. Ia sekali gus menjadikan kemenangan ketiga berturut-turut Dayang selepas memenangi trofi sama pada AJL29 menerusi lagu Di Pintu Syurga dan AJL30 (Tak Pernah Menyerah).
Bersyukur atas kemenangan yang diraih, penyanyi berusia 36 tahun itu menyifatkan rezeki kemenangan sebagai bayaran paling berbaloi setiap liku penuh susuh yang dilaluinya selama ini.
“Apa yang saya lakukan di pentas final adalah persembahan semata-mata dan tiada sasaran untuk menang. Kemenangan pada malam ini sangat menyentuh emosi sehingga membuatkan saya menangis. Pentas AJL telah menjadi saksi kepada jatuh bangun dan perjalanan berliku saya dalam industri,” ujarnya gembira.
Biarpun sejak awal pencalonan lagi sudah ada segelintir peminat meramalkan dirinya sebagai juara menanti, namun pelantun lagu Dayang Sayang Kamu itu berasakan perjalanan seninya belum sempurna.
Seperti yang pernah disuarakan sebelum ini, Dayang menepati janji apabila seluruh gema emosinya persembahan Lelaki Teragung didedikasikan buat pemimpin negeri kelahirannya, Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem yang meninggal dunia pada 11 Januri lalu akibat komplikasi jantung.
“Saya sering mengadakan persembahan untuk Allahyarham dan sebagai anak Sarawak yang turut merasai kehilangan beliau, apa salahnya persembahan ini didedikasikan untuk beliau,” katanya.
Kemenangan Lelaki Teragung turut mencatat sejarah apabila penulis liriknya, Iman Imran mengulang legasi kredibiliti seorang penulis lirik yang bergelar wartawan hiburan seperti apa yang pernah diraih Allahyarham Mama Juwie.
Sepanjang hayatnya, Mama Juwie pernah mengungguli AJL pada 1988 menerusi lagu popular nyanyian Ramlah Ram, Kau Kunci Cintaku Di Dalam Hatimu serta Takdir dan Waktu nyanyian kumpulan Mega.
Kemenangan bersama
Duet Misha Omar dan Hafiz Suip juga menepati ramalan apabila diumumkan selaku pemenang tempat kedua menerusi lagu ciptaan sepenuhnya oleh Ajai, Terimaku Seadanya. Menganggap trofi berkenaan sebagai kemenangan bersama, Misha dan Hafiz teruja kerana gandingan mereka menerusi lagu tersebut membuahkan hasil yang berbaloi.
“Sebenarnya, ia lebih kepada kerjasama kerana tanpa Hafiz, saya pun tidak akan mampu sampai ke peringkat akhir. Walaupun tahap kesihatan tidak memuaskan kerana batuk tetapi dia tetap yakin dan percaya kepada saya untuk melakukan yang terbaik pada malam ini,” ujar Misha yang mengakui tidak akan menolak untuk kembali bekerjasama dengan Hafiz selepas ini.
‘Berperang’ vokal di atas pentas, ironinya Misha dan Hafiz pernah merangkul kategori Vokal Terbaik masing-masing menerusi lagu Bunga-bunga Cinta (AJL18), Pulangkan (AJL19), Noktah Cinta (AJL25), Awan Nano (AJL26) dan Ku Akui (AJL27).
Sementara itu, kumpulan Projector Band menzahirkan perasaan bersyukur atas kemenangan mereka di tempat ketiga menerusi lagu yang melonjakkan nama mereka dalam industri, Sudah Ku Tahu. Persembahan Terbaik yang merupakan kategori undian seratus peratus daripada penonton pula dimenangi kumpulan Khalifah menerusi lagu Hang Pi Mana.
Membawa pesan orang tua dalam aroma rock ‘kapak’, muzik Khalifah yang dianggap kampung bagi sesetengah pihak pulang bermaruah di mata peminat.
Kualiti lagu, persembahan
Menyentuh tentang proses penjurian, komposer Azmeer yang bertindak selaku Ketua Juri AJL31 berkata, kekuatan lirik dan melodi yang terletak dalam lagu Lelaki Teragung adalah sebab utama mengapa karya tersebut diangkat selaku Juara Lagu ke-31.
“Sebagai juri, apa yang dinilai oleh kami adalah rangkuman keseluruhan termasuk dari segi melodi, lirik dan persembahan. Tidak dinafikan, persembahan Dayang pada malam ini cukup sempurna kerana diiringi sistem bunyi dan susunan pentas yang setaraf persembahan antarabangsa.
“Secara holistik, vokal Dayang menyerlah dan dia berjaya melakukannya dengan cemerlang tanpa cacat cela kerana markah untuk vokal dikira berdasarkan aspek lantunan vokal sahaja, bukannya bergantung pada instrumen yang digunakan ketika persembahan.
“Jika diikutkan, peratusan markah antara semua pemenang tidak terlalu jauh tetapi kami perlu melihat jumlah keseluruhan markah membabitkan semua aspek yang disebut tadi dan Dayang mendahului dengan catatan markah tertinggi,” terang Azmeer panjang lebar.
Membelek semula senarai pencalonan akhir, kebanyakan lagu yang bertanding merupakan karya popular, sama ada lagu tema drama, karya dengan jumlah rating tontonan tertinggi di YouTube atau lagu yang menjuarai carta radio.
“Apabila mengadili sesebuah karya, bukan faktor popular menjadi ukuran. Sebaliknya, ia tentang bagaimana seseorang penyanyi menyampaikan persembahan dengan baik.
“Saya tidak menafikan terdapat banyak karya yang bagus seperti lagu dendangan kumpulan Projector Band yang mempertaruhkan konsep muzik era 1990-an tetapi apa yang penting adalah karya itu harus sedap didengar. Masyarakat perlu faham bahawa lagu popular dan lagu yang bagus adalah dua perkara berbeza,” jelas Azmeer lagi.
Secara keseluruhan, perjalanan pentas akhir AJL31 dilihat seimbang apabila membariskan karya berkualiti dari segi lirik dan melodi. Kehangatan malam kemuncak AJL31 juga masih berada pada tahap memberangsangkan biarpun persembahan melibatkan penyanyi baharu seperti Aiman Tino, Projector Band dan Sufian Suhaimi dilihat jauh terkebelakang berbanding penyanyi senior.
Biarpun menyerikan industri dengan pertaruhan muzik berkonsep 1990-an, hakikatnya mereka telah mendaki sampai ke tahap AJL dan mencatat kejayaan peribadi untuk tempoh setahun jagung yang baru ditimba.
Indah atau tercela, secara realitinya, AJL31 tetap sebuah cerminan muzik tempatan ketika ini. Ia masih sebuah pertandingan muzik komersial. Jika tahun lepas, magis rock progresif Akim & The Majistret menerusi Potret menjadi kebanggaan, AJL31 kembali menghamparkan karpet merah untuk kategori balada mendominasi carta pencalonan seterusnya memenangi hati juri.
Apa jua ketetapan atau jalur yang menjadi kecenderungan juri dalam menghakimi corak muzik terbaik saban tahun, AJL tidak boleh lari daripada tiga junjungan wajib iaitu muzik, lirik dan vokal. Ketika ketiga-tiga elemen tersebut meledak sempurna, maka terzahirnya AJL31 dengan Lelaki Teragung.
0 comments:
Post a Comment