Gambar Hiasan |
GEJALA sosial merupakan satu malapetaka yang sering dikaitkan dengan remaja masa kini. Antaranya, pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan. Masalah ini boleh dikatakan sering berlaku dan didedahkan di dada-dada akhbar. Kesan daripada masalah ini juga menjadi antara penyumbang kepada berlakunya kes hamil luar nikah dan pembuangan bayi.
Media baru-baru ini melaporkan, dua pasangan remaja yang terdiri daripada tiga pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan seorang pelajar pondok ditangkap khalwat di lokasi berasingan di Kuala Nerus, Kuala Terengganu dalam operasi yang dijalankan sepasukan penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT).
Menurut Ketua Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Jas Laile Suzana Jaafar, mengenai isu anak-anak muda bersekedudukan sudah lama berlaku tetapi kini ia semakin menjadi-jadi.
“Bezanya, dahulu adat resam dan agama itu menebal dan kejadian kes khalwat tidak banyak tetapi sekarang ia dilakukan secara terang-terangan dan tanpa segan silu,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Jas Laile Suzana memberitahu, pengaruh budaya Barat yang mudah meresap dalam masyarakat kita hari ini melalui media sosial menjadi punca gejala sosial itu berlaku.
Nilai agama
“Zaman remaja merupakan tempoh yang sangat menyeronokkan. Pada zaman remajalah seseorang individu suka mencuba pelbagai perkara baharu dalam kehidupan mereka. Pada zaman serba moden ini, laman sosial mudah diakses oleh golongan remaja untuk berkenalan antara satu sama lain, sekali gus membuka peluang untuk mereka bergaul bebas,” ujarnya.
Jelas beliau, remaja yang kurang mendapat didikan dan perhatian serta pemantauan daripada ibu bapa, menyebabkan mereka mudah terjebak ke lembah tidak sihat ini.
Sementara itu, Pensyarah Jabatan Syariah, Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra, Kelantan, Ustaz Dr. Abdul Basit Abdul Rahman menegaskan, kurang penghayatan dalam agama Islam dan kerapuhan iman membawa mereka mendekati zina.
“Kurangnya nilai dan pegangan agama yang kukuh maka tidak mustahil iman seseorang itu akan goyah terutamanya mereka yang baru mengenal kehidupan. Ajaran agama perlulah diterapkan di rumah lagi. Ibu bapa bertanggungjawab memberi didikan agama membentuk akhlak anak-anak supaya mereka dapat membezakan antara yang baik dan buruk,” katanya.
Tambah Abdul Basit, jika ibu bapa tidak menerapkan didikan agama kepada anak-anak, mereka kurang panduan dalam menghadapi cabaran pada hari ini. “Ajaran yang terkandung dalam al-Quran dan hadis sebenarnya sudah cukup menyeluruh untuk dijadikan panduan hidup. Islam sudah menerangkan secara jelas tentang bahana jika terjebak ke lembah kemaksiatan,” ujarnya.
Selain itu, Abdul Basit memberitahu, keadaan masyarakat sekarang yang semakin teruk dengan masalah sosial berpunca daripada sikap masing-masing yang tidak mahu ambil peduli dengan persekitaran mereka.
“Dalam Islam, tiada istilah jangan jaga tepi kain orang lain kerana jika Islam mengamalkan seperti itu, maka tidak akan ada dakwah dan ceramah agama yang bertujuan untuk membetulkan masyarakat,” tuturnya.
Kemasyarakatan itu penting dalam sesebuah institusi Muslim iaitu kita saling jaga antara satu sama lain kerana kita semua bertuhankan satu iaitu Allah dan berasal daripada tanah. Oleh itu, dengan sikap saling menjaga tepi kain orang lain, setiap kesalahan yang kita lakukan boleh dijadikan iktibar.
0 comments:
Post a Comment