My Blog List

Translate

  • PANAS

    Tuesday, 31 January 2017

    Tragedi 911 Kekal Menghantui Amerika



    Seluruh dunia kini sedang memerhati dengan penuh minat, apa lagi yang mahu dilakukan Donald Trump setelah meraih kuasa tertinggi di Amerika Syarikat. Jika sebelum ini, beliau telah membatalkan penyertaan Amerika dalam TPPA, komited dalam pembinaan tembok sempadan Amerika - Mexico, kini, warga asing terutamanya beragama Islam pula di larang memasuki Amerika.

    Mungkin, apa yang dilakukan Trump ini hanya melibatkan beberapa buah negara yang dikenal pasti oleh pasukan pentadbirannya sebagai mendatangkan mudarat kepada Amerika. Namun, paling jelas adalah, tindakan Trump ini melambangkan, dasar Amerika pada era pentadbiran Bush, masih mahu dilaksanakan oleh Trump walaupun keputusannya ini hebat ditentang oleh jutaan warga Amerika.

    Umum sedia maklum, di era pentadbiran George W Bush, Amerika buat pertama kalinya diserang oleh sekumpulan pengganas Islam yang bertindak menyerang World Trade Center (WTC) dan Pentagon. Bertitik tolak dari sinilah, munculnya istilah Islamofobia yang mana bagi kebanyakan warga Amerika, mereka mempunyai pandangan yang agak sinis tentang umat Islam.

    Ditambah pula dengan ketegangan yang berlarutan di Asia Barat terutamanya kewujudan kumpulan pengganas "gila" Daesh, ketakutan mereka semakin bertambah apabila melihat beberapa buah negara Eropah telah diserang oleh kumpulan gila ini. Atas sebab inilah, Trump mengambil keputusan untuk menyekat kemasukan rakyat dari 7 negara yang majoritinya penduduk Islam dari memasuki Amerika.

    Namun begitu, terdapat beberapa berita yang kurang enak hasil daripada perlaksanaan perintah eksekutif ini. Semalam, media melaporkan, pasukan pilihan raya Trump sebenarnya sudah merangka pelan pengharaman kemasukan umat Islam ke Amerika, beberapa bulan sebelum Trump sah menjadi Presiden Amerika ke 45.

    Diberitakan, draf pengharaman ini sememangnya sudah dirangka Trump dan hanya akan diguna pakai sebaik sahaja beliau sah dilantik sebagai Presiden. Kelmarin menjadi saksi bahawa Trump akhirnya benar-benar nekad menghalang kemasukan warga 7 negara dari memasuki Amerika. Persoalannya, mampukah Amerika dan dirinya sendiri selamat dari sebarang unsur serangan pengganas?

    Jawapan mudah, sudah tentu tidak. Walaupun diakui, Amerika mempunyai kelengkapan canggih termasuk badan perisikan yang terbaik di dunia, namun mereka juga harus mengakui bahawa pengganas kini akan bertindak selangkah di hadapan untuk melaksanakan impian jahat mereka.

    Dengan dunia kini mudah dihubungi dengan capaian internet, pengganas hanya perlu mendoktrin bakal-bakal pembunuh diri untuk melakukan sesuatu tindakan nekad hanya melalui komputer riba dan telefon canggih. Trump mungkin dapat mengeluarkan arahan eksekutif namun beliau lupa bahawa pengganas hari ini sudah tidak mengenal erti takut dan persempadanan negara.

    Jika sebelum ini dunia sudah mampu menghela nafas lega selama 8 tahun di bawah pentadbiran Obama, kini seluruh dunia harus bersiap sedia dengan tindak balas Amerika andai mereka sekali lagi terpaksa berhadapan dengan serangan ala 911 atau mungkin terpaksa berhadapan dengan tindakan gila Trump untuk sekurang-kurangnya, 4 tahun lagi.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Tragedi 911 Kekal Menghantui Amerika Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top