Pelakon Hanez Suraya, 32, menafikan rumah tangganya bergolak ekoran timbulnya kekecohan dia memfailkan perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, Isnin lalu terhadap suaminya, Romie Razin Adilha Abd Rais, 37.
Isu kepincangan rumah tangga mereka sudah menjadi perhatian umum sejak beberapa bulan lalu, namun ia reda seketika selepas pasangan itu dipercayai berusaha mencari jalan memperbaiki hubungan mereka termasuk bercuti di luar negara. Menerusi akaun Instagramnya hari ini, Hanez berkata, perkahwinannya dengan Romie masih lagi bahagia.
"Tiada apa yang perlu jelaskan di atas apa yang terjadi. Sememangnya kami hanya manusia biasa yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan. Cuma, apa yang penting antara saya dan suami, kami masih bahagia bersama dan tidak ada apa-apa yang berlaku.
"Alhamdulillah, rumah tangga kami masih kekal. Apa yang terjadi biarlah kami berdua selesaikan dan tidak perlu ada spekulasi yang menjadi tokok tambah daripada mana-mana pihak tertentu," katanya.
Bagaimanapun, usaha media untuk menghubungi Hanez tidak berjaya apabila telefonnya tidak berjawab.
Menerusi laman sosial itu, Hanez turut memohon maaf kepada semua pihak apabila dia mengambil langkah mendiamkan diri sejak Isnin lalu. “Berdiam diri bukan bermaksud saya mengiyakan atau menafikan, cuma saya mengambil masa mencari ruang untuk bertenang.
“Alhamdulillah, suami saya sentiasa tenang di atas yang berlaku ini. Terima kasih di atas sokongan kuat daripada keluarga, rakan rapat, media dan peminat yang selalu memberikan semangat dan mendoakan yang baik-baik untuk kami,” katanya.
Hanez dan Romie diijabkabulkan pada 25 Mac 2015 dan dikurniakan seorang anak perempuan perempuan iaitu Puteri Aleesya yang kini berusia 13 bulan.
0 comments:
Post a Comment