My Blog List

Translate

  • PANAS

    Wednesday 25 January 2017

    Khairy Pencabar Utama Jawatan Presiden FAM



    MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) dikhabarkan menjadi pencabar utama untuk mengisi jawatan Pre­siden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Kongres FAM ke-53 yang bakal berlangsung di ibu negara, 25 Mac depan.

    Jawatan paling popular itu telah ‘dikosongkan’ ekoran penyandangnya Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah menyatakan hasrat melepaskan ‘kerusi panas’ itu sejak dua tahun lalu.

    Khairy yang dikatakan telah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Kabinet, menerima enam pencalonan daripada ahli gabungan FAM dan diterima untuk bertanding bersama tiga lagi tokoh iaitu calon pilihan, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim; bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Aseh Che Mat.

    Khairy bukan individu asing dalam dunia bola sepak tempatan kerana beliau pernah memegang portfolio Timbalan Presiden FAM pada tahun 2007. Selain Khairy, Aseh turut menjadi calon popular apabila dikhabarkan menerima tujuh pencalonan daripada ahli gabungan, manakala Tunku Ismail dikatakan mendapat empat pencalonan termasuk daripada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). 

    Bagaimanapun, keempat-empat tokoh pen­ting ini dilihat masih berteka-teki dan mengambil pendekatan kunci mulut berhu­bung keinginan untuk bertanding jawatan tersebut pada Kongres FAM ke-53 nanti selepas dicalonkan untuk merebut jawatan pen­ting dalam badan induk bola sepak negara itu.

    Semua calon yang telah dicalonkan untuk bertanding pada Kongres FAM itu nanti masih mempunyai masa sehingga 13 Februari depan untuk mengesahkan hasrat mereka itu. Sebelum tarikh tersebut mereka akan membuat keputusan sama ada untuk me­ngesahkan pertandingan atau menarik diri daripada meneruskannya.

    FAM akan mengadakan Mesyuarat Exco pada 20 Februari nanti bagi memuktamad­kan calon-calon yang akan mengesahkan hasrat mereka untuk bertanding. Semua pencalonan untuk beberapa jawatan yang dipertandingkan pada Kongres itu nanti telah ditutup pada pukul 5 petang kelmarin.

    Usaha media untuk mendapatkan respons daripada Khairy berhubung pencalonannya menemui kegagalan kerana beliau kini berada di Lebanon atas urusan rasmi.  Bekas Timbalan Presiden FAM, Annuar juga gagal dihubungi kerana masih berada di New Zealand.

    Media semalam melaporkan, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, 20 ahli gabungan FAM telah menghantar pencalonan masing-masing dan ha­nya empat nama itu sahaja yang disenaraikan untuk merebut jawatan pre­siden.

    Selain itu, Hamidin turut menerima 10 nama untuk jawatan timbalan presiden dan 15 nama lagi bagi jawatan naib presiden. Nama-nama yang disebut-sebut untuk mengisi jawatan Timbalan Presiden FAM antaranya adalah Hamidin; bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal; Datuk Seri Afandi Hamzah, Annuar dan Datuk Seri Ahmad Razif.
    • Blogger Comments
    • Facebook Comments

    0 comments:

    Post a Comment

    Item Reviewed: Khairy Pencabar Utama Jawatan Presiden FAM Rating: 5 Reviewed By: JMK
    Scroll to Top