Malindo Air komited untuk meningkatkan jumlah penumpangnya kepada 10 juta pada tahun ini berbanding hanya 5.6 juta yang dicatatkan pada tahun lalu terutama disumbang oleh pembelian pesawat dan pengenalan laluan baru.
Ketua Pegawai Eksekutif Malindo Air Chandran Rama Muthy berkata, pihaknya yakin peningkatan sekali ganda itu dapat dicapai berikutan kapasiti penumpang udara semakin meningkat di negara ini. Beliau berkata, Malindo Air juga akan menambah kekerapan penerbangan bagi destinasi terpilih.
“Kami akan memperkenalkan laluan baru ke Lombok, Indonesia dan dari Kota Kinabalu ke Taiwan. Selain itu, kekerapan penerbangan bagi Bali dan Medan juga akan ditingkatkan sekali ganda kepada empat kali sehari berbanding dua kali sebelum ini.
“Biarpun suasana ekonomi global mencabar sekarang, kami masih kekal positif untuk terus mengembangkan perniagaan serta melabur untuk membeli pesawat baru,” katanya kepada media selepas pelancaran Pejabat Perkhidmatan Tiket dan Daftar Masuk Malindo Air KL Sentral, di sini, semalam.
Majlis pelancaran itu disempurnakan Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi. Hadir sama Pengerusi Eksekutif Express Rail Link (ERL) Tan Sri Mohd Nadzmi Mohd Salleh dan Ketua Pegawai Eksekutif ERL Noormah Mohd Noor.
Malindo Air menjalin kerjasama dengan ERL bagi membolehkan penumpang mendaftar masuk di Balai Berlepas KL Ekspres di KL Sentral dan proses daftar masuk boleh dilakukan sekurang-kurangnya tiga jam sebelum penerbangan. Penumpang kini boleh membuat pendaftaran masuk lebih awal termasuk dengan bagasi mereka yang boleh didapati semula sebaik tiba di destinasi dituju.
Chandran berkata, perkhidmatan berkenaan dijangka dapat memudahkan perjalanan penumpang selain menambah senarai perkhidmatan ditawarkan Malindo Air.
“Ini satu daripada usaha yang dibuat Malindo Air dan kami merancang untuk berkembang sejauh yang kami boleh dan membawa masuk lebih ramai pelancong ke Malaysia dan kembali ke matlamat kami untuk menjadikan KLIA sebagai hab transit di rantau ini,” katanya.
0 comments:
Post a Comment