Azizul Annuar Adenan, anak bongsu kepada Allahyarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem antara nama paling tertinggi berpotensi menjadi calon pilihan bagi kerusi DUN Tanjong Datu.
Penganalisis politik Universiti Malaya Dr Awang Azman Pawi mendedahkan berdasarkan soal selidik dan tinjauan pendapat dilakukan, Azizul mempunyai kedudukan tertinggi sebagai calon pengganti arwah ayahnya yang meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 11 Januari lepas.
“Tinjauan pendapat ini juga menyatakan faktor populariti Azizul juga dipengaruhi sikap mesra, berbudi pekerti tinggi, tidak sombong dan banyak membuat kerja-kerja kebajikan. Selain itu, tinjauan pendapat ini dilakukan mendapati aktiviti yang banyak dibuat anak bongsu Adenan Satem seperti kempen kesedaran dan mengumpul dana bagi menampung kanak-kanak pesakit kanser.
“Hal ini menunjukkan keprihatinan beliau terhadap masalah rakyat,” katanya kepada aplikasi WhatsApp kepada media di sini, semalam.
Awang Azman berkata, kepimpinan Azizul terserlah juga apabila taekwondo negeri Sarawak memilih beliau menjadi Chef de Mission menang besar dalam SUKMA baru-baru ini. Bahkan katanya Azizul juga dilihat mempunyai bakat tinggi dalam politik mewakili suara generasi Y yang berpendidikan tinggi dan peka dengan situasi masyarakat.
“Ramai responden juga menyatakan Azizul ialah pemimpin muda masa depan dan berbakat besar. Tinjauan ini berpendapat Azizul dilihat mempunyai kualiti potensi peribadi dan yang penting tidak tercemar dengan imej negatif hingga kini.
“Kombinasi personaliti yang baik, berbakat tinggi, mesra rakyat, bersih dan berpendidikan menjadi faktor responden senang memilih Azizul sebagai calon,” katanya.
Beliau berkata populariti Azizul kini mencecah 85 peratus sebagai calon pilihan utama pengganti Adenan berdasarkan soal selidik dan tinjauan ini. Sementara itu Penganalisis Politik Datuk Peter Minos berkata sesiapapun yang menggantikan arwah di kerusi Tanjong Datu, mereka harus berkredibiliti untuk menang selain mampu membawa nama baik Allahyarham Adenan.
“Rakyat menyebut beberapa nama sebagai calon berpotensi termasuk Datin Patinggi Datuk Amar Jamilah Anu, Aziz Adenan, Bujang Helmi dan Azmi Bujang, kesemua berkredibiliti.
“Semua rapat dengan beliau tetapi ia masih terpulang kepada pucuk kepimpinan tertinggi parti terutama Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg untuk memilih,” katanya.
Minos berkata, apapun ahli parti akan bekerja gigih untuk berkempen bagi memenangi kerusi sebagai tanda setia kepada PBB dan mencapai kemenangan besar seperti PRN lepas. “Kita akan memainkan peranan kita mewakili Iban dan Bidayuh di kawasan Lundu untuk berkempen bagi mencapai kemenangan,” tegasnya.
0 comments:
Post a Comment