PERJALANAN sejauh kira-kira 75 kilometer yang memakan masa lebih sejam dari Batu Anam, Segamat ke Taman Jurasik Don Hu yang terletak di Muar, Johor mungkin agak membosankan bagi sesetengah orang.
Namun bagi Ismail Rasul, 56, dia sanggup memandu sejauh itu semata-mata untuk membawa ahli keluarganya berkunjung ke taman yang menempatkan puluhan patung dinosaur tersebut. “Saya dapat tahu mengenai kewujudan taman dinosaur ini selepas melihat gambar-gambar yang disiarkan menerusi laman sosial Facebook oleh kenalan saya.
“Ia telah menarik minat saya untuk berkunjung ke sini. Walaupun ia sekadar patung, kesemua replika dinosaur yang ada di sini menyerupai reka bentuk dan rupa sebenar haiwan prasejarah itu,” katanya.
Jelas Rasul lagi, kesungguhan pemiliknya untuk mewujudkan taman dinosaur itu harus dipuji kerana ia mampu menarik minat kanak-kanak untuk mengenali dengan lebih dekat jenis-jenis dinosaur yang berjaya dikesan dan diketahui setakat ini.
Malah, beberapa ratus meter sebelum sampai ke taman itu, dia sudah dapat melihat pelbagai patung dinosaur yang seolah-olah sedang berkeliaran di tepi jalan, sekali gus meningkatkan keterujaan dua orang cucunya.
“Jangankan kanak-kanak, saya sendiri turut teruja melihat patung-patung dinosaur ini. Ia kelihatan seperti benar-benar hidup kerana ada sebahagiannya yang boleh bergerak di bahagian ekor dan kepala,” jelas seorang lagi pengunjung, Saiful Nizam Mohd. Yusof, 39, yang datang dari Klang, Selangor bersama keluarganya.
Terletak di Jalan Pintasan Muar, Taman Jurasik Don Hu yang dibuka kira-kira lima bulan lalu merupakan satu daya tarikan baharu kepada pengunjung yang datang ke Muar. Pemiliknya, Heng Chiang Hwee berkata, dia mendapat idea untuk membuka taman dinosaur itu kira-kira tiga tahun lalu berikutan minat yang sangat mendalam terhadap haiwan prasejarah tersebut.
Langkah pertama
Malah, berkongsi minat yang sama dengan anak-anak mendorong dia untuk mengubah pusat jualan pokok hiasan landskap miliknya, Don Hu Nursery menjadi sebuah taman jurasik yang menempatkan puluhan dinosaur pelbagai spesies.
Bercerita mengenai proses awal membina tanam dinosaur itu, Chiang Hwee berkata, selepas memeram idea tersebut lebih dua tahun disebabkan kesibukan menguruskan perniagaan jualan pokok hiasan, dia akhirnya memulakan langkah pertama dengan mendapatkan bantuan daripada seorang rakan yang memiliki bengkel mereka bentuk peralatan berasaskan gentian kaca.
“Selepas rakan saya menyatakan kesungguhan untuk membantu saya, akhirnya sebanyak 18 patung dinosaur pelbagai saiz yang diperbuat daripada bahan tersebut siap dibina. “Kesemua patung itu kemudiannya dibawa dari Pahang untuk ditempatkan di ruang hadapan pusat jualan pokok hiasan saya pada September tahun lalu,” katanya.
Jelas Chiang Hwee, dia sangat terkejut dengan maklum balas yang diberikan oleh penduduk di sekitar Muar termasuk pengguna jalan raya yang melalui kawasan itu. Malah, ada antara mereka yang sudah bertanyakan mengenai tarikh rasmi pembukaan taman tersebut walaupun ketika itu kerja-kerja pemasangan patung berkenaan masih belum selesai.
Chiang Hwee menambah, ada juga antara mereka yang meminta kebenaran untuk masuk ke taman itu bersama anak-anak mereka bagi melihat secara lebih dekat patung-patung haiwan berkenaan walaupun masih ada yang dinosaur yang belum dipasang.
“Melihat kepada keterujaan mereka, saya mendapat idea baharu untuk menambah koleksi patung dinosaur bagi ditempatkan di taman ini, sekali gus menjadikan ia kelihatan lebih menarik. Setelah mencari pembekal menerusi internet, saya akhirnya bertemu dengan sebuah syarikat dari China yang menawarkan pelbagai jenis patung dinosaur bersaiz besar.
“Lebih menarik apabila kesemua patung-patung dinosaur itu dibina menggunakan span dan boleh bergerak selain mengeluarkan bunyi seolah-olah ia mengaum,” katanya dengan memberitahu, setiap satu patung haiwan itu dibeli pada harga antara RM5,000 hingga RM10,000 mengikut saiz.
Sehingga kini, Taman Jurasik Don Hu memiliki 43 patung dinosaur dengan dua daripadanya bersaiz besar iaitu Tyrannosaurus rex yang memiliki 11.8 meter panjang dan enam meter tinggi.
Bergambar
Satu lagi ialah Branchiosaurus yang panjangnya kira-kira 12.8 meter dan berketinggian 10 meter. Kedua-dua patung bersaiz gergasi itu diletakkan di kiri dan kanan laluan masuk ke taman dinosaur berkenaan serta kerap menjadi tarikan utama pengunjung untuk bergambar kenangan.
Walaupun berhabis ratusan ribu ringgit untuk mewujudkan taman dinosaur yang dipercayai pertama seumpamanya di negeri berkenaan, apa yang menariknya, tiada sebarang bayaran masuk dikenakan kepada pengunjung.
Pengunjung hanya perlu mengeluarkan wang sekiranya mereka membeli cenderamata berupa patung mainan dinosaur dan baju-T bergambar haiwan selain beberapa barangan yang turut dijual termasuk pokok dan kristal hiasan.
“Saya tidak pernah terfikir untuk mengenakan sebarang bayaran masuk. Malah, saya berasa gembira apabila orang ramai datang ke sini walaupun mereka datang hanya semata-mata untuk tengok patung dinosaur dan bukannya membeli pokok hiasan yang saya jual.
“Saya tahu, di sini (Muar) tidak banyak tempat yang boleh dikunjungi. Sebab itu saya bina taman ini kerana mahu orang ramai khususnya pengunjung dari luar bawa anak-anak mereka berhibur di taman ini bagi melihat dinosaur,” katanya.
Ditanya mengenai perancangan masa depan, Chiang Hwee memberitahu, dia bercadang untuk membuka sebuah resort bertemakan taman jurasik yang akan dipenuhi dengan dinosaur di sebuah kawasan yang terletak bersebelahan sungai.
Namun, ia bergantung kepada sumber kewangan selain bantuan daripada pihak-pihak lain terutamanya pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri untuk mendapatkan lokasi yang bersesuaian.
Apa yang pasti, dia akan membawa masuk satu lagi patung dinosaur bersaiz besar yang diimport dari China sebagai tambahan kepada koleksi patung dinosaur sedia ada di taman jurasik miliknya itu.
0 comments:
Post a Comment