Sekiranya seorang kanak-kanak berusia bawah 12 tahun tiba-tiba didapati mengelamun, janganlah dimarahi kerana dianggap tidak memberi perhatian, sebaliknya periksa keadaannya kerana berkemungkinan mereka diserang sawan termenung.
Sawan jenis ini kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak berbanding orang dewasa dan ia terjadi secara tiba-tiba serta tanpa sebarang tanda amaran. Lazimnya, orang akan mengaitkan epilepsi dengan sawan tarik seperti menggelupur, kejang dan mulut berbuih.
Namun, simptom sawan termenung tidak seperti sawan tarik sebaliknya ia terjadi tanpa disedari kerana tanda-tandanya seperti orang mengelamun dengan pandangan kosong dan kaku selama kurang 15 saat dan boleh berlaku beberapa kali dalam sehari.
Disebabkan itu, ramai yang menyalah anggap kanak-kanak dengan sawan jenis ini sebagai nakal dan tidak memberi perhatian terutama ketika berada di dalam kelas. Menurut Perunding Pakar Neurologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr Lim Kheng Seang, epilepsi adalah aktiviti elektrik yang tidak normal di dalam otak apabila ia boleh membabitkan pergerakan atau sentakan anggota tubuh badan dan keadaan ini juga disebut sebagai sawan.
Terdapat beberapa punca yang menyebabkan sawan seperti ketumbuhan dan strok, tetapi segelintir masyarakat menganggap sawan disebabkan keletihan, tidak cukup tidur, kekurangan gula atau garam dalam badan. Malah, ada segelintir penghidap disebabkan keturunan dalam sesebuah keluarga yang mendapat sawan.
“Ada banyak jenis sawan, tetapi secara umum sawan dibahagikan kepada setempat dan menyeluruh. Sawan setempat (focal seizure) atau sawan separa bermaksud sawan di satu bahagian otak, sama ada kiri atau kanan, manakala sawan keseluruhan (generalized seizure) bermaksud sawan yang berlaku pada kedua-dua bahagian otak kiri dan kanan secara serentak.
“Sawan setempat ada kala menyerang dengan sentakan membabitkan sebelah bahagian seperti sentakan pada tangan atau kaki di sebelah kanan. Terdapat segelintir penghidap sawan mempunyai perlakuan yang tidak normal apabila mereka berhenti bercakap untuk sementara (oral automatism), kebingungan (blank stare) dan kadang-kadang mengetap bibir.
“Ada juga penghidap mengalami sensasi pelik sebelum mendapat sawan seperti merasa takut, dejavu ataupun berasakan sesuatu yang sensasi, gastrik yang tidak normal dan ini kita panggil sebagai aura,” katanya.
Berlainan pula dengan sawan keseluruhan, Dr Lim berkata, ia berlaku di kedua-dua belah otak pada masa yang sama menyebabkan pesakit jatuh, sentakan pada tangan dan kaki, mata mereka akan ke atas, kadangkala mereka menggigit lidah dan terkencing.
“Tetapi ada juga sawan keseluruhan yang ringan sebagai contoh kanak-kanak yang termenung (absence generalized seizure) dan guru menganggap mereka kurang memberi perhatian dalam kelas ataupun segelintir mereka mendapat sentakan pada waktu pagi dan kadangkala tidak. Ini dipanggil sentakan otot, manakala kebingungan itu dipanggil petit-ma,” katanya.
Katanya, bagi mencari punca sawan di bahagian otak sama ada dari bahagian kiri atau kanan atau kedua-duanya, elektroensefalogram (EEG) sangat penting. “EEG adalah ujian gelombang otak apabila elektrod akan dilekatkan di kepala untuk merakam gelombang elektrik otak. Dari situ gelombang otak yang tidak normal akan dapat dikesan sekali gus lokasi sawan tercetus dapat dikenal pasti.
“Ujian lain seperti ujian darah, imbasan otak akan digunakan untuk mengetahui keadaan asas pesakit yang menyebabkan sawan,” katanya. Dr Lim berkata, terdapat kaedah tertentu bagi menangani penghidap yang diserang sawan sama ada di rumah, tempat kerja atau kawasan awam.
“Apabila seseorang mendapat serangan sawan di depan anda, perkara pertama ialah membaringkan penghidap di tempat rata. Pastikan tiada apa-apa di sekeliling yang boleh menyebabkan kecederaan seperti kerusi atau meja.
“Jangan sekali-kali meletak sebarang objek ke dalam mulut pesakit kerana ia akan menyebabkan kecederaan yang lebih serius. Mengelak lidah tergigit tidak akan membantu kerana menggigit lidah adalah tidak bahaya dan tidak menyebabkan kematian.
“Sebaik sawan berakhir, anda boleh mengiringkan penghidap menghadap ke tepi supaya air liur dapat keluar dan mereka boleh sedar semula pada bila-bila masa. Sebaik mereka sedar bermakna sawan sudahpun berhenti. Kebiasaannya, sawan akan berlangsung dalam tempoh kurang lima minit.
Beliau berkata, setakat ini, daripada 10 pesakit yang mengambil ubat sawan dianggarkan enam hingga tujuh orang daripadanya mampu mengawal sawan mereka. Perunding Pakar Bedah Neuro PPUM, Profesor Bersekutu Dr Vairavan Narayanan berkata, kira-kira 80 peratus daripada pesakit sawan dapat dirawat atau dikawal dengan ubat, manakala bakinya tidak boleh diubati dengan ubatan.
Sebaliknya, penghidap terbabit memerlukan rawatan lanjut dan kira-kira separuh daripada mereka perlu menjalani pembedahan epilepsi. “Namun, pembedahan epilepsi hanya akan dijalankan terhadap penghidap yang mempunyai kecederaan struktur otak. Pengimejan resonan magnetik (MRI) akan menunjukkan kecederaan dan EEG akan menandakan lokasi gelombang elektrik sawan pada otak.
“Pembedahan epilepsi akan mengeluarkan bahagian otak yang tidak normal. Ini seterusnya melenyapkan sebarang aktiviti elektrik otak yang tidak normal. Ini antara kaedah penyelesaian jangka panjang, berbeza dengan ubatan yang perlu diambil berterusan setiap hari.
“Mengenai kebimbangan adakah pembedahan epilepsi ini bahaya, kita perlu bandingkan antara risiko dan kelebihan pembedahan ini. Pembedahan ini akan menghalang atau mengurangkan epilepsi jangka panjang, di samping membawa lebih banyak manfaat daripada risiko jika dibuat perbandingan,” katanya.
Sementara itu, Pakar Neurologi PPUM, Dr Sherrini Bazir Ahmad berkata penghidap sawan perlu menjalani pemeriksaan dan beberapa ujian untuk menilai sama ada mereka sesuai menjalani pembedahan.
“Pertama sekali pesakit yang mempunyai sawan pernah mengambil dua atau lebih jenis ubatan dengan dos yang maksimum dan disahkan oleh doktor pakar. Semua pesakit perlu menjalani beberapa imbasan seperti MRI yang menjadi satu imbasan penting dalam imbasan neurologi bagi melihat sebarang kecederaan dalam otak.
“Penghidap juga perlu mendaftar masuk di wad neurologi dan menjalani tiga hari ujian video EEG yang diperlukan bagi mengenal pasti jenis sawan serta bahagian otak yang terbabit. Selain itu, imbasan pemancaran foton tunggal tomografi berkomputer (SPECT) atau tomografi pancaran positron (PET) juga akan dijalankan dan ini akan dibincangkan lebih lanjut oleh pakar neurologi.”
Beliau berkata, selepas semua langkah dijalankan, satu perbincangan khas akan dijalankan bersama pakar neurologi, radiologi, juruteknologi dan pakar bedah akan duduk bersama membincangkan kes penghidap sawan. Ini bagi mencapai kata putus mengenai kaedah rawatan mana yang terbaik untuk mereka jalankan.
0 comments:
Post a Comment